40 tan buah tempatan ditawar di Pesta Buah-Buahan Selangor, nanas MD2 serendah RM1

LocalFood
25 Jul 2026 • 9:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

40 tan buah tempatan ditawar di Pesta Buah-Buahan Selangor, nanas MD2 serendah RM1

SHAH ALAM, 25 JULAI: Sebanyak 40 tan buah-buahan tempatan ditawarkan kepada orang ramai sepanjang Pesta Buah-Buahan Negeri Selangor 2026, termasuk nanas MD2 yang dijual pada harga serendah RM1 menerusi promosi Happy Hour.

EXCO Pertanian Dato' Ir Izham Hashim berkata promosi itu diadakan bagi membolehkan orang ramai mendapatkan buah-buahan tempatan pada harga lebih murah.

"Kita ada Happy Hour iaitu jualan murah. Sebentar lagi kita akan mulakan promosi nanas yang harga biasa RM8 hingga RM10 dijual pada harga RM1. Kita sediakan stok yang mencukupi untuk orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pesta Buah-Buahan Negeri Selangor 2026 di Aneka Walk, Seksyen 14 di sini, semalam.

Image from: 40 tan buah tempatan ditawar di Pesta Buah-Buahan Selangor, nanas MD2 serendah RM1
EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim (dua kanan) menunjukkan buah-buahan tempatan ketika hadir merasmikan Pesta Buah-Buahan Negeri Selangor di Aneka Walk, Seksyen 14, Shah Alam pada 24 Jun 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Selain nanas MD2 yang dijual pada harga RM1 dan RM2 sebiji ketika promosi Happy Hour, pengunjung turut berpeluang mendapatkan nangchem pada harga RM2 sebiji.

Dalam pada itu, manggis, rambutan, dokong, pulasan serta beberapa jenis buah lain pula dijual pada harga RM2 sekilogram.

Pesta yang berlangsung hingga Ahad (26 Julai) dari jam 10 pagi hingga 10 malam itu menghimpunkan 27 usahawan, terdiri daripada 10 pengusaha buah-buahan yang mengendalikan 17 lot jualan, selain 16 pengusaha produk agro dan seorang pengusaha ikan hiasan.

Image from: 40 tan buah tempatan ditawar di Pesta Buah-Buahan Selangor, nanas MD2 serendah RM1
EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim (tengah) ketika hadir merasmikan Pesta Buah-Buahan Negeri Selangor di Aneka Walk, Seksyen 14, Shah Alam pada 24 Jun 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Program berkenaan menyasarkan kehadiran 10,000 pengunjung dengan nilai jualan sebanyak RM250,000 sepanjang tiga hari penganjurannya.

Penganjuran pesta itu bertujuan meningkatkan jualan buah-buahan tempatan, memperluaskan akses orang ramai mendapatkan hasil segar pada harga berpatutan, membantu menambah pendapatan pengusaha serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sektor agromakanan.

Antara buah-buahan yang dijual ialah durian, manggis, rambutan, dokong, pulasan, duku langsat, limau bali, buah naga, jambu lohan, jagung, nanas MD2, cempedak dan nangka.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved