400 anak pokok ditanam pulih kawasan terjejas di Hutan Simpan Ayer Hitam

LocalEnvironment
7 Jul 2026 • 10:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

400 anak pokok ditanam pulih kawasan terjejas di Hutan Simpan Ayer Hitam

SHAH ALAM, 7 JULAI: Sebanyak 400 anak pokok ditanam di kawasan yang terkesan akibat insiden panahan peti di Hutan Simpan Ayer Itam, Puchong, menerusi program penanaman pokok 'Trees for Tomorrow', baru-baru ini.

Menurut Pejabat Hutan Daerah Selangor Tengah, kawasan terjejas membabitkan keluasan satu hektar itu dikayakan semula dengan anak pokok daripada 11 spesies asli hutan hujan tropika yang bernilai tinggi.

“Seramai 40 sukarelawan terdiri daripada penuntut dan pengajar Universiti Kuala Lumpur - Malaysia France Institute (UniKL MFI) menanam 400 anak pokok daripada 11 spesis asli hutan hujan tropika yang bernilai tinggi.

“Antaranya seperti Meranti Tembaga, Meranti Sarang Punai, Meranti Kepong, Meranti Rambai Daun, Meranti Langgong, Meranti Melantai, Nyatoh Taban Merah, Kasai, Keladan, Balau Bukit dan Kembang Semangkuk,” katanya menerusi Facebook.

Program yang diadakan di Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC) pada 1 Julai lalu turut dihadiri Pengarah Perhutanan Negeri Selangor, Azhar Ahmad.

Semua sukarelawan turut berpeluang mengikuti aktiviti berunsur pendidikan alam sekitar iaitu 'Forest Conservation Discovery Trek' dan 'Forest Stream Discovery' yang memberikan pendedahan mengenai kepentingan pemeliharaan ekosistem hutan dan sungai.

Menurut kenyataan itu, inisiatif tersebut bukan sahaja menyumbang kepada pemulihan ekosistem hutan tropika, malah memupuk kesedaran kelestarian yang tinggi dalam kalangan warga universiti demi generasi masa hadapan.

Untuk rekod, Hutan Simpan Ayer Hitam terletak dibawah pengurusan SISFEC, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan merupakan Hutan Simpanan Kekal yang dianugerahkan kepada UPM melalui perjanjian jangka panjang.

Hutan yang berkeluasan 1182.07 hektar itu mengendalikan aktiviti berkaitan dengan pendidikan, penyelidikan dan pengembangan kajian dalam bidang perhutanan dan alam sekitar.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved