
Kota Kinabalu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah memeriksa sebanyak 409,233 kenderaan dari Januari hingga September tahun ini kata Pengarahnya Datuk Mohd Harris Ali.
Menerusi jumlah itu katanya 39,730 kenderaan diambil tindakan manakala 88,636 keping notis saman dikeluarkan dan 198 kenderaan disita.
Antara kesalahan tertinggi yang direkodkan ialah tiada lesen memandu dan tamat tempoh dengan sebanyak 19,932 keping notis saman dikeluarkan, tiada lesen vokasional dan tamat tempoh (3,117 keping), lesen Kenderaan Motor tamat tempoh (14,530 keping) dan tiada insurans (10,701 keping).
“JPJ Negeri komited melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna serta pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan jalan raya.
“Ini menunjukkan komitmen tinggi JPJ Negeri dalam memastikan rakyat khususnya di Sabah mendapat manfaat berterusan melalui pelbagai penguatkuasaan, kempen kesedaran dan program komuniti yang dilaksanakan sepanjang tahun,” katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus bersama media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Isnin.
Sementara itu beliau berkata jabatan itu turut komited melaksanakan penguatkuasaan Speed Limit Device (SLD) sejak 1 Oktober terhadap kenderaan perdagangan dengan 614 kenderaan perdagangan telah diperiksa sehingga 4 Oktober lalu.
“Berdasarkan rekod pemeriksaan Puspakom dari 1 hingga 2 Oktober sebanyak 49 kenderaan perdagangan didapati tidak memasang SLD.
“JPJ Negeri Sabah juga akan mengeluarkan notis kepada 114 kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan berkenaan.
“Inisiatif ini dilaksanakan sebagai langkah proaktif bagi menangani peningkatan insiden kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan berat seperti lori dan bas,” katanya.
Harris berkata sebahagian besar kemalangan maut membabitkan kenderaan perdagangan yang bergerak melebihi had laju ditetapkan.
Justeru itu katanya pematuhan terhadap penggunaan SLD amat penting bagi mengawal kelajuan serta memastikan pemandu mematuhi had kelajuan yang dibenarkan.
Tambahnya penguatkuasaan SLD akan dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu fasa pertama melibatkan pengesahan kefungsian SLD dengan penguatkuasaan bermula pada 1 Oktober 2025 fasa kedua membabitkan pengaktifan SLD dalam Electronic Control Unit (ECU) (penguakuasaan pada 1 Jan 2026) manakala fasa ketiga melibatkan pemasangan peranti SLD secara retrofit yang telah mendapat pengesahan daripada JPJ dengan penguatkuasaan bermula pada 1 Julai 2026.
“SLD berfungsi sebagai peranti keselamatan yang dipasang pada kenderaan perdagangan bagi mengehadkan kelajuan maksimum yang boleh dicapai.
“Melalui penguatkuasaan ini JPJ dapat memastikan kenderaan perdagangan tidak dipandu secara berbahaya sekali gus mengurangkan risiko nahas jalan raya.
“JPJ akan terus bekerjasama rapat dengan pihak industri, pengusaha logistik dan badan berkaitan bagi memastikan pelaksanaan SLD ini dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan ke arah mencapai sasaran sifar kemalangan maut di Malaysia,” katanya.
Mengena Budi Madani RON95 (Budi95) Harris berkata jabatan itu berjaya mengutip RM66,500.50 sepanjang tiga hari pembukaan kaunter sejak inisiatif itu dilaksanakan.
“Sebanyak 20 Pejabat JPJ Negeri Sabah dibuka setiap hujung minggu sejak 27-28 September dan 4 Oktober 2025. Jumlah pelanggan yang hadir ialah 1,605 orang yang membabitkan jumlah urus niaga sebanyak 1,885 transaksi dengan jumlah kutipan RM66,500.50.
“Inisiatif Budi Madani merupakan usaha kerajaan membantu golongan layak melalui pemberian subsidi bersasar termasuk manfaat berkaitan bahan api RON95.
“Antara syarat utama untuk melayakkan individu menerima bantuan ini ialah memiliki lesen memandu yang sah dan aktif.
“Peranan JPJ amat penting dalam mengaktifkan semula lesen memandu yang telah tamat tempoh atau membantu individu yang belum memiliki lesen agar dapat berbuat demikian,” katanya.

