41 Bateri RAD pastikan 14 das dentuman merdeka sempurna

31 Aug 2026 • 9:17 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 41 Bateri RAD pastikan 14 das dentuman merdeka sempurna

PUTRAJAYA – Sebanyak 14 das tembakan meriam bergema di Dataran Putrajaya hari ini sebagai simbolik memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan 2026, dengan setiap dentuman dikendalikan penuh tertib oleh enam anggota daripada 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (RAD) (Istiadat).

Anggota dari Kem Sungai Buloh, Selangor itu diberi amanah memastikan setiap tembakan dilepaskan tepat pada masanya, sekali gus menjadi antara pasukan penting di sebalik kelancaran istiadat sambutan hari ini.

Diketuai Ketua Tembakan dan Pemerhati, Kapten Muhammad Zameer Zolkaifli, pasukan itu bertanggungjawab memberikan arahan dan koordinasi kepada kru meriam sebelum setiap tembakan dilepaskan.

Uniknya, 14 das Tembakan Kehormatan Artileri yang dilepaskan dari tapak letak kenderaan Masjid Tuanku Zainal Abidin (MTMZA) itu bergema dan berdentum seiring dengan alunan lagu Negaraku.

Muhammad Zameer berkata, 14 das tembakan itu dilepaskan menerusi enam meriam jenis M102 105mm Howitzer.

“Tempoh tembakan itu adalah antara 1 minit 16 saat dengan lima ke enam das bagi setiap tembakan,” katanya ketika ditemui di tapak sambutan Hari Kebangsaan 2026 di sini hari ini.

Katanya, ini adalah kali kedua dia mengetuai arahan das tembakan meriam itu dan kali pertama mengendalikan perkara itu ketika sambutan Hari Kebangsaan 2025.

Muhammad Zameer yang menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 2009 berkata, dia mengakui gugup ketika mengendalikan perkara itu tahun lalu, lebih bersedia tahun ini.

“Tugas utama saya adalah memastikan semua anggota berada dalam keadaan bersedia dan setiap arahan disampaikan dengan tepat mengikut protokol istiadat yang ditetapkan.

“Setiap tembakan mempunyai masa dan susunan tertentu yang perlu dipatuhi. Sebagai ketua tembakan dan pemerhati, saya akan memberi arahan kepada kru bagi memastikan semuanya berjalan lancar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post 41 Bateri RAD pastikan 14 das dentuman merdeka sempurna appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved