
PENDANG: Kemeriahan sambutan Hari Malaysia Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) An-Nur, Gajah Mati, di sini hari ini bertukar cemas apabila bangunan sekolah agama itu terbakar dalam kejadian sekitar pukul 9.45 pagi tadi.
Bagaimanapun, 41 murid serta tiga guru sekolah berkenaan yang ketika itu berada di luar kelas terselamat selepas berjaya melarikan diri daripada bangunan tersebut ketika api marak.
Guru Besar Pasti An-Nur, Mohamad Afif Ahmad Rusdin berkata, kejadian disedari salah seorang guru yang terhidu bau terbakar sebelum melihat api marak dari bahagian atas bangunan berkenaan.
“Guru dan murid terlibat bernasib baik kerana ketika kejadian semuanya beredar ke luar kelas untuk sambutan Hari Malaysia. Beberapa minit kemudian ustazah kami mula terhidu asap.
“Mereka dibawa ke tempat selamat dan Alhamdulillah kerana semua selamat tanpa sebarang kecederaan walaupun bangunan Pasti ini musnah sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Tambah beliau, kebakaran tersebut memusnahkan tiga kelas, sebuah surau, pejabat pentadbiran, rumah warden dan dua motosikal milik guru.
“Banyak buku serta wang tunai yang diderma pelbagai pihak turut hangus. Apa pun kami tetap bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa,” jelasnya.
Sementara itu, saksi kejadian yang juga tukang masak di Pasti berkenaan, Wan Nor Najihah Wan Abdul Majidee, 31, berkata, api marak dengan pantas menyebabkan suasana menjadi huru hara seketika.
“Namun pelajar dan guru berada di luar kelas jadi mereka pantas menyelamatkan diri kalau tidak tak tahulah sebab api marak dengan pantas. Dapur tempat saya menyediakan makanan juga hampir terbakar,” katanya.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah memaklumkan menerima panggilan kecemasan pada pukul 10 pagi yang melaporkan kebakaran di sekolah agama berkenaan.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang tiba di lokasi pada pukul 10.15 pagi, sebelum mendapati kebakaran membabitkan bangunan sekolah agama kelas B dua tingkat. Kemusnahan dianggarkan sebanyak 80 peratus.
“Turut musnah dua motosikal dengan anggaran 90 peratus terbakar. Kerja-kerja overhaul dijalankan bagi memastikan tiada bara api yang masih menyala sebelum operasi pemadaman ditamatkan,” katanya.-UTUSAN
The post 41 pelajar Pasti terselamat kebakaran appeared first on Utusan Malaysia.





