
KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengesan 41 peratus pekerja domestik asing di negara ini masih belum berdaftar dan mencarum dengan pertubuhan tersebut.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, laporan data sehingga 30 September itu, turut mendapati 12 peratus pekerja asing seluruh negara dikesan belum berdaftar dengan PERKESO.
Ujarnya, statistik tersebut membuktikan bahawa langkah penguatkuasaan menerusi Operasi Pengesanan Majikan (Ops Kesan) Pekerja Asing 2024 perlu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan kumpulan pekerja berkenaan terjamin.
"Masih ramai lagi di antara pekerja asing ini yang masih belum mempunyai manfaat keselamatan sosial. Jika berlaku kemalangan dan kecederaan, mereka tidak mempunyai sebarang perlindungan.
"Menurut data daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), lebih 2.4 juta pekerja asing yang mempunyai pas lawatan sah tetapi yang berdaftar dengan PERKESO kurang daripada dua juta.
"Dengan data-data yang diperoleh, kita merasakan bahawa perlu dilaksanakan Ops Kesan Pekerja Asing 2024," katanya dalam sidang media Ops Kesan Pekerja Asing 2024 di Menara PERKESO pada Jumaat.
Menurut Mohammed Azman Aziz, menerusi pelaksanaan operasi yang membabitkan 254 anggota penguat kuasa itu, majikan yang didapati melakukan kesalahan semasa pemeriksaan premis akan dikenakan kompaun.
Ulas beliau, berdasarkan statistik Ops Kesan sejak 2009 sehingga Oktober 2024, 24,801 notis kompaun berjumlah RM19.1 juta telah dikeluarkan kepada majikan yang gagal mendaftar perusahaan dan pekerja manakala sebanyak 25,574 kes telah didakwa di atas pelbagai kesalahan.
"Kesalahan gagal atau lewat mendaftar perusahaan atau pekerja boleh mengakibatkan pemilik perusahaan atau majikan dijatuhi hukuman penjara selama sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
"Pendaftaran dan caruman PERKESO bukan bertujuan membebankan majikan, sebaliknya untuk menjamin hak pekerja asing mendapat perlindungan keselamatan sosial mengikut piawaian antarabangsa," ujarnya.

