42 hospital kluster dibentuk selama sedekad

23 Jun 2023 • 3:08 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PUTRAJAYA: Sebanyak 42 hospital kluster berjaya dibentuk dalam tempoh 10 tahun melibatkan 146 daripada 149 hospital yang terdapat di seluruh negara, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Tiga hospital yang bukan kluster ialah Hospital Kangar, Labuan dan Langkawi, apabila hospital-hospital berkenaan tidak mempunyai klinik kecil berdekatan tetapi masih bekerjasama dengan hospital lain, contohnya Hospital Kangar dengan Hospital Sultanah Bahiyah (HSA).

“Mungkin pada masa depan kalau ada perancangan dan keperluan untuk membina klinik baharu atau hospital baharu berdekatan, tiga hospital tersebut akan diklusterkan,“ katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Hospital kluster adalah penggabungan dua atau lebih hospital berpakar dan hospital tanpa pakar di lokasi geografi berdekatan, yang dilaksanakan bagi menyelaras perkhidmatan melalui perkongsian dan pengoptimum sumber di hospital terbabit.

Dr Zaliha berkata pelaksanaan inisiatif hospital kluster membantu kementerian itu meneruskan mutu perkhidmatan yang baik antaranya penjimatan perbelanjaan menerusi pembelian secara pukal melalui penggabungan hospital berkenaan.

“Pada 2019, sebanyak RM1.26 juta penjimatan diperoleh melalui pembelian secara pukal bagi ‘barang habis pakai’ (consumable item) di 10 hospital kluster,” katanya.-Bernama

View Original Article