42 sukarelawan UM kembalikan senyuman Orang Asli di Raub

LocalHealth & Fitness
10 Feb 2025 • 4:00 PM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available
Sukarelawan berinteraksi dengan anak-anak Orang Asli.

Seramai 42 sukarelawan daripada beberapa fakulti Universiti Malaya (UM) mengikuti Program Khidmat Masyarakat Bersama Orang Asli berlangsung tiga hari di Sekolah Kebangsaan (SK) Satak, Raub, Pahang baru-baru ini.

Antara fakulti terlibat ialah Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian dan turut disertai oleh Pusat Perubatan UM, PPB Group Berhad, Pertubuhan Komuniti ELITE, National Cancer Society of Malaysia (NCSM) dan Breast Cancer Welfare Association Malaysia (BCWA).

image is not available
Penduduk kampung mengambil peluang untuk mendapatkan rawatan pergigian.

Objektif program tersebut bertujuan untuk memberikan perkhidmatan kesihatan pergigian yang menyeluruh kepada masyarakat Orang Asli Raub, Pahang.

Ini termasuk pendidikan kesihatan mulut, penskaleran mulut, topikal fluorida dan tampalan gigi mudah jika perlu.

Seramai 80 orang pelajar Tingkatan 1 dan 2 menyertai aktiviti -aktiviti yang dianjurkan antaranya demonstrasi memberus gigi yang diajar oleh pelajar pasca ijazah Fakulti Pergigian UM.

image is not available
Anak-anak Orang Asli menggosok gigi dengan cara yang diajar oleh sukarelawan.

Di samping itu, berus gigi dan ubat gigi berflorida diberi secara percuma kepada semua pelajar yang terlibat sebagai tanda galakan dalam penyertaan aktiviti.

Selain itu, impak yang ingin dicapai melalui program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat Orang Asli terhadap pengesanan awal kanser mulut.

image is not available
Penduduk kampung turut mengambil peluang untuk periksa gigi.

Pendidikan kesihatan pergigian dan saringan kanser mulut juga diberikan kepada penduduk kampung untuk meningkatkan kesedaran mereka terhadap kesihatan serta kanser mulut.

Program khidmat masyarakat berkenaan mendapat sambutan yang sangat luar biasa daripada penduduk kampung tersebut.

image is not available
Sukarelawan bergambar sebagai kenangan.

Secara tidak langsung, program khidmat masyarakat itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk Orang Asli Semai, namun ia juga memberi pengalaman berharga kepada pasukan pergigian dari UM.

View Original Article