45 perisian haram di pelbagai sektor bernilai RM955,000 dirampas - KPDN

3 Nov 2023 • 4:02 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

45 perisian haram di pelbagai sektor bernilai RM955,000 dirampas - KPDN

zulfadli

03/11/2023 - 16:02

KUALA LUMPUR 3 Nov - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Bahagian Penguat Kuasa berjaya membongkar aktiviti penggunaan perisian komputer tanpa lesen yang semakin berleluasa melalui pelbagai tindakan penguatkuasaan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

KPDN memaklumkan, berdasarkan statistik penguatkuasaan oleh KPDN berhubung isu berkaitan, pihak kementerian telah melakukan serbuan ke atas 14 syarikat dan menemukan 45 perisian tanpa lesen pada 16 komputer peribadi dan lapan komputer riba bermula Januari 2020 sehingga Ogos 2023, yang mana nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM995,000.

Katanya, pencerobohan itu dikenal pasti berlaku dalam pelbagai sektor perniagaan dalam negara.

"Serbuan yang dilakukan itu melibatkan pelbagai jenis latar belakang perniagaan seperti syarikat kejuruteraan, syarikat reka bentuk, syarikat gas dan minyak dan sebagainya.

"Ketegasan pihak kementerian di dalam melaksanakan aktiviti penguatkuasaan di bawah perundangan Akta Hak Cipta 1987 merupakan mesej jelas bahawa pihak KPDN serius di dalam melindungi keselamatan dan hak cipta karya yang dihasilkan di Malaysia.

"Ini termasuklah penggunaan perisian tanpa lesen dalam sektor-sektor kritikal yang boleh menimbulkan kebimbangan tentang potensi risiko selain turut menekankan kepentingan menggunakan perisian berlesen bagi menjamin piawaian keselamatan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut KPDN, antara modus operandi yang dikesan oleh pihak kementerian adalah pengguna pada awalnya mempamerkan lesen perisian yang telah tamat tempoh sebagai bukti pematuhan, namun setelah pemeriksaan lanjut dilakukan, mereka menggunakan perisian tidak berlesen bagi versi baharu perisian tersebut dan kaedah ini digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa.

image is not available

Katanya, antara perisian tanpa lesen yang digunakan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab ini adalah seperti AutoCAD, 3ds Max, dan V-Ray.

"KPDN kekal komited dalam usaha menguatkuasa pematuhan ke atas perundangan berkaitan penggunaan perisian yang berlesen terutamanya melibatkan bidang tertentu yang memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi di Malaysia.

"Kementerian giat menjalankan sesi libat urus bersama pihak industri dan agensi kerajaan lain berkaitan untuk meningkatkan kesedaran dan melaksanakan strategi bagi menggalakkan penggunaan perisian secara bertanggungjawab," katanya.

Katanya, pihak kementerian berharap semua pemain industri mengutamakan penggunaan perisian berlesen. Ia merupakan tanggungjawab asas dalam memastikan kesejahteraan awam selain menjaga kepentingan negara.

Sejajar dengan pematuhan Akta Hak Cipta 1987, semua perniagaan dikehendaki menggunakan perisian berlesen dan sah sepanjang pengoperasian. Kegagalan mematuhi peraturan ini boleh dikenakan penalti sebanyak RM2,000 hingga RM20,000 bagi setiap perisian yang digunakan dan boleh dipenjara sehingga lima tahun. - DagangNews.com