
ANKARA: Pihak berkuasa Vietnam menahan 45 suspek susulan serangan ke atas dua ibu pejabat polis, lapor Agensi Anadolu memetik media tempatan pada Selasa.
Operasi memburu dalang serangan pada Ahad itu masih berjalan, lapor VN Express.
Sekurang-kurangnya sembilan orang termasuk empat pegawai polis terbunuh dan dua lagi cedera dalam serangan itu.
“Seperti yang dilaporkan, sekumpulan penunggang motosikal yang menggunakan senjata api dan senjata lain menyerang pegawai dan memusnahkan ibu pejabat Jawatankuasa Komunal Rakyat dan Pos Polis di kawasan Ea Tieu dan Ea Ktur, Daerah Cu Kuin, Dak Lak (wilayah) pada subuh 11 Jun 2023, ” menurut kenyataan Kementerian Keselamatan Awam di laman sesawangnya.
Menurut kementerian itu, tiga orang dijadikan tebusan. Polis menyelamatkan dua daripada mereka manakala tebusan ketiga berjaya melepaskan diri.
Pada Isnin, Timbalan Menteri Keselamatan Awam Luong Tam Quang turut melawat kawasan itu dan bertemu dengan keluarga pegawai yang terbunuh.
Insiden keganasan senjata api jarang berlaku di negara ini kerana orang ramai tidak dibenarkan untuk memiliki senjata api. -Bernama



