46% pekerja di Malaysia mahu majikan sokong kesihatan fizikal, mental untuk capai keseimbangan pekerjaan dan kehidupan - Kaji Selidik UCSI
zulfadli
22/06/2023 - 12:30
KUALA LUMPUR 22 Jun - Sebanyak 46% pekerja di Malaysia mahu pihak majikan menyokong kesihatan fizikal dan mental mereka sekali gus mempunyai keseimbangan kerja serta kehidupan yang lebih baik.
Menurut tinjauan Pusat Penyelidikan UCSI, pihaknya telah menjalankan kajian tinjauan mengenai keseimbangan kerja dan kehidupan terhadap 856 golongan dewasa yang bekerja.
Katanya, sebanyak 40% lagi mahukan waktu kerja yang lebih baik, manakala 39% mahu pihak pengurusan membantu pekerja memenuhi keperluan peribadi mereka.
"Mengenai pendapat mereka tentang keseimbangan kerja dan kehidupan mereka, kira-kira separuh daripada responden berpendapat mereka mempunyai keseimbangan kerja serta kehidupan yang baik, 25% tidak mempunyai keseimbangan kehidupan kerja dan 23% tidak pasti," katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurut tinjauan itu, mengenai bilangan jam bekerja dalam sehari pula, lebih separuh daripada responden menyatakan bahawa mereka bekerja lebih daripada 8 jam sehari iaitu 45% antara 8 hingga 10 jam dan 7% bekerja lebih daripada 10 jam sehari.
Katanya, keputusan juga menunjukkan hampir tiga perempat daripada responden terpaksa bekerja melebihi waktu kerja biasa mereka dengan 57% sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu dan 15% setiap hari.
"Mengenai kerja mereka pula, hanya 40% menyatakan bahawa mereka seronok bekerja. Sebanyak 28% daripada responden menyatakan kerja mereka memenatkan dan 27% mendapati pekerjaan mereka membebankan kerana terlampau banyak tanggungjawab, manakala 5% daripada responden berasa ingin berhenti kerja," katanya.

Katanya, daripada 856 responden, hanya 22% sering terlepas hal-hal penting yang melibatkan peribadi atau keluarga mereka dan 54% kadang-kadang terlepas.
Dalam pada itu, mengenai bilangan jam tidur pada hari bekerja, 18% daripada responden menyatakan bahawa mereka tidur kurang daripada 6 jam, 65% tidur antara 6 hingga 7 jam dan 17% tidur lebih daripada 8 jam. - DagangNews.com

![[VIDEO] 46% pekerja di Malaysia mahu majikan sokong kesihatan fizikal, mental untuk capai keseimbangan pekerjaan dan kehidupan - Kaji Selidik UCSI](https://cdn.newswav.com/img/topic/local.jpeg)
