464 borang pencalonan dibeli bagi PRN Negeri Sembilan

LocalPolitics
17 Jul 2026 • 11:27 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 464 borang pencalonan dibeli bagi PRN Negeri Sembilan
Ramlan (berdiri, kiri) ditemani Masri (kanan) meninjau persiapan akhir di pusat penamaan calon di Wisma Majlis Bandaraya Seremban pada Jumaat

SEREMBAN - Sebanyak 464 borang pencalonan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 telah dibeli setakat ini, dengan 70 bakal calon sudah melengkapkan bayaran deposit sehingga jam 9 malam Khamis.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, semua bakal calon masih mempunyai tempoh sehingga jam 10 pagi esok iaitu pada hari penamaan calon untuk menjelaskan bayaran deposit.

"Namun kita menggalakkan mereka menyelesaikannya lebih awal bagi mengelakkan kesesakan dan urusan pada hari penamaan calon dapat berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan akhir pusat penamaan calon PRN Negeri Sembilan di Wisma Majlis Bandaraya Seremban di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Baharuddin.

Dalam perkembangan sama, Ramlan berkata, kesemua lapan pusat penamaan calon membabitkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) telah siap sepenuhnya dan bersedia menerima kehadiran calon.

Menurutnya, seramai 761 petugas SPR akan bertugas sepanjang proses penamaan calon yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 10 pagi Sabtu.

Beliau turut menggesa semua bakal calon hadir lebih awal selain meminta penyokong mematuhi arahan bagi memastikan proses penamaan calon berlangsung lebih lancar dan teratur.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Negeri Sembilan berbeza dengan Johor yang menggunakan pusat penamaan calon mengikut DUN.

"Negeri Sembilan hanya menyediakan lapan pusat penamaan calon mengikut kawasan Parlimen berdasarkan kesesuaian lokaliti," katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved