
NILAI – Menyamar sebagai pekerja telekomunikasi dan beroperasi seawal pukul 2 pagi antara modus operandi tujuh kumpulan pencuri kabel yang berjaya ditumpaskan polis di daerah ini, membabitkan 47 tangkapan sepanjang Januari hingga September lalu.
Lebih mengejutkan, siasatan mendapati sebahagian suspek dipercayai pernah bekerja dengan syarikat kontraktor atau subkontraktor telekomunikasi, sekali gus mempunyai pengetahuan mengenai selok-belok kedudukan kabel dan kemudahan rangkaian yang menjadi sasaran.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, kesemua suspek berusia antara 17 hingga 58 tahu merupakan anggota daripada kumpulan Geng Roy TM, Geng Siva RRU Maxis, Geng Krol Copperstrip, Geng Subcon Amazon, Geng Leong Kabel, Geng Usop Klang dan Geng Intheren Kabel IPG.
“Antara lokasi yang dipercayai menjadi sasaran termasuk kawasan Mantin, Labu dan Lenggeng, khususnya ibu sawat serta premis telekomunikasi yang mempunyai kabel dan peralatan bernilai. Modus operandi dikenal pasti termasuk memecah masuk rumah sawat telekomunikasi, mencuri kabel tembaga di pencawang dan premis, mencuri DRAM kabel serta melarikan komponen telekomunikasi.
“Antara barangan yang disasarkan ialah kabel Telekom Malaysia, kabel tembaga, slot kad telekomunikasi, unit radio jarak jauh (RRU) dan konduktor kilat. Kegiatan itu dianggarkan menyebabkan kerugian kira-kira RM4.5 juta kepada pihak telekomunikasi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE
The post 47 pencuri kabel tumpas, penyamaran pekerja telco terbongkar appeared first on Kosmo Online.

