
SHAH ALAM - Sejumlah 476 orang banduan hukuman mati yang belum selesai proses rayuan di peringkat Mahkamah akan tertakluk kepada Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang akan berkuat kuasa kelak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu termasuk dalam enam dasar pindaan terhadap RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dan RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
Menurutnya, dengan pemansuhan hukuman mati mandatori dan pindaan berbangkit susulan pemansuhan tersebut, Kerajaan Perpaduan telah beranjak ke arah pemansuhan hukuman mati bagi enam kesalahan tertentu sebagai mana di atas dalam perundangan di Malaysia.
"Pemansuhan hukuman mati mandatori ini bertujuan menghargai dan menghormati nyawa setiap individu, pada masa yang sama, memastikan keadilan dan kesaksamaan bagi semua pihak termasuk mangsa-mangsa pembunuhan, kes-kes yang melibatkan pengedaran dadah, serta keluarga mangsa-mangsa.
"Oleh itu, dasar-dasar yang dicadangkan melalui RUU ini merupakan satu jalan tengah untuk memastikan keadilan dipelihara bagi semua," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Azalina berkata, pada 17 Mac 2023, Jemaah Menteri antara lain, bersetuju dengan RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dan RUUSemakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang KuasaSementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
Katanya, berikutan persetujuan Jemaah Menteri,Bacaan Kali Yang Pertama bagi RUU berkenaan dibuat pada Isnin dan Bacaan Kali Yang Kedua bagi RUU tersebut dijangka dibuat pada sesi kali ini juga.
"Satu taklimat berkenaan perkara ini juga akan diadakan pada 28 Mac 2023 bagi semua Ahli Dewan Rakyat daripada Blok Kerajaan dan Blok Pembangkang bersama-sama dengan Senator Dewan Negara.
"RUU yang dibentangkan dalam Dewan Rakyat hari ini melibatkan enam dasar untuk meminda Kanun Keseksaan (Akta 574); Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat)1971 (Akta 37); Akta Senjata 1960 (Akta 206); Akta Penculikan 1961 (Akta 365); AktaDadah Berbahaya 1952 (Akta 234); Akta Perdagangan Strategik 2010 (Akta 708); Kanun Tatacara Jenayah serta mewujudkan satu Akta yang baharu," katanya.

