49.3 juta waran Vantris Energy siri 2019/2026 tamat tempoh pada 23 Januari 2026, harga pelaksanaan RM9.80

LocalBusiness & Finance
22 Dec 2025 • 10:26 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

49.3 juta waran Vantris Energy siri 2019/2026 tamat tempoh pada 23 Januari 2026, harga pelaksanaan RM9.80
image is not available
haziq22/12/2025 - 10:26 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Dis – Waran Vantris Energy Berhad siri 2019/2026 yang keseluruhannya bernilai 49.93 juta unit akan tamat tempoh sepenuhnya menjelang pukul 5 petang pada 23 Januari 2026.

 

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hak pelaksanaan waran tersebut akan luput pada tarikh berkenaan selaras dengan syarat yang ditetapkan dalam Surat Ikatan Perjanjian bertarikh 6 Disember 2018.

 

Sehubungan itu, semua pemegang waran yang berhasrat untuk melaksanakan waran masing-masing dinasihatkan supaya mengemukakan dokumen berkaitan kepada pendaftar saham syarikat, Boardroom Share Registrars Sdn Bhd, selewat-lewatnya pada tarikh dan masa tamat tempoh berkenaan.

 

Vantris Energy berkata dagangan Waran 2019/2026 di Bursa Malaysia Securities akan digantung bermula 9 pagi, 8 Januari 2026, manakala hari terakhir dagangan waran tersebut ialah pada 7 Januari 2026.

 

“Waran 2019/2026 akan terhenti daripada boleh dilaksanakan selepas 5 petang pada 23 Januari 2026 dan akan dikeluarkan daripada senarai rasmi Pasaran Utama Bursa Malaysia berkuat kuasa 26 Januari 2026,” katanya.

 

Harga pelaksanaan bagi Waran 2019/2026 ditetapkan pada RM9.80 bagi setiap satu saham baharu.

 

Berdasarkan harga penutupan pada 28 November 2025, waran dan saham Vantris Energy masing-masing ditutup pada RM0.020 dan RM0.380, menjadikan waran tersebut berada dalam keadaan tidak menguntungkan.

 

Menurut syarikat itu, setakat 28 November 2025, jumlah waran yang masih belum dilaksanakan adalah sebanyak 49,934,123 unit.

 

Vantris Energy turut menjelaskan saham baharu yang diterbitkan hasil pelaksanaan waran akan disenaraikan dalam tempoh lapan hari pasaran selepas penerimaan lengkap borang pelaksanaan dan bayaran, serta akan mempunyai kedudukan setara dengan saham sedia ada syarikat, kecuali bagi kelayakan dividen yang telah diisytiharkan sebelum tarikh peruntukan.

 

Pemegang waran yang gagal melaksanakan hak mereka sebelum tarikh luput dinyatakan akan kehilangan hak tersebut sepenuhnya, dan semua waran yang masih didepositkan akan didebitkan daripada akaun CDS masing-masing pada 26 Januari 2026. - DagangNews.com

Terkini standard