49% Tuntutan Insurans Penyakit Kritikal Libatkan Golongan Bawah 40 Tahun, Allianz Tawar Saringan Kesihatan Percuma

Personal FinanceHealth & Fitness
30 Jul 2026 • 3:45 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

49% Tuntutan Insurans Penyakit Kritikal Libatkan Golongan Bawah 40 Tahun, Allianz Tawar Saringan Kesihatan Percuma

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Ramai beranggapan penyakit kritikal hanya mengancam individu yang lanjut usia sahaja, walhal hakikatnya risiko kesihatan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia.

Meskipun terdapat pelbagai faktor antaranya proses penuaan menjadikan golongan ini lebih terdedah kepada penyakit serius seperti kanser, penyakit jantung dan strok namun semua ini juga boleh mengancam golongan muda.

Terbaharu penemuan Allianz Life Insurance Malaysia Berhad (Allianz Life) mendapati hampir separuh daripada tuntutan penyakit kritikal yang diterima membabitkan pelanggan berumur di bawah 40 tahun.

Memetik Bernama, Allianz Life mendapati sebanyak 49% daripada tuntutan penyakit kritikal yang dibuat pelanggan syarikat itu datang daripada mereka dalam kelompok umur berkenaan.

Situasi itu mencerminkan keperluan yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya golongan lebih muda untuk mengambil langkah proaktif terhadap kesihatan serta persediaan kewangan mereka.

Malah menurut Allianz Life, persepsi bahawa penyakit serius hanya berlaku pada usia lanjut perlu dilihat semula kerana risiko kesihatan boleh muncul lebih awal daripada jangkaan.

Allianz Life Anjur Festival Kesihatan Percuma Di APW Bangsar Pada 1 Ogos

Sehubungan itu, Allianz Life akan menganjurkan Allianz Health Festival 2026 di APW Bangsar, Kuala Lumpur pada 1 Ogos ini sebagai usaha memperkasakan individu dan keluarga untuk mengambil langkah proaktif ke arah pencegahan, perlindungan serta pemulihan kesihatan.

Bertemakan “Discover More Today, Secure What Matters Tomorrow”, acara satu hari itu berlangsung dari 9 pagi hingga 5 petang dan terbuka kepada orang ramai secara percuma.

Menurut Allian lagi, festival itu akan menampilkan pelbagai pengisian termasuk sesi pembelajaran bersama pakar kesihatan, perkongsian daripada bekas pesakit serta penjaga, selain aktiviti yang memberi pendedahan mengenai gaya hidup sihat.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life, Giulio Slavich berkata, pihaknya berharap program berkenaan dapat membantu lebih ramai rakyat Malaysia membina kehidupan yang lebih sihat dan berdaya tahan.

“Ramai beranggapan bahawa penyakit serius hanya berlaku pada usia lanjut, namun hakikatnya risiko kesihatan boleh muncul jauh lebih awal daripada yang dijangkakan.

“Allianz Health Festival merupakan peluang untuk rakyat Malaysia memahami kesihatan mereka dengan lebih mendalam, menimba ilmu daripada pakar dan memperoleh pengetahuan praktikal bagi membantu mereka membuat keputusan yang lebih tepat untuk diri sendiri serta insan tersayang,” katanya.

Pengujung boleh dapat saringan kesihatan asas dan faktor risiko kanser percuma

Pada festival itu, pengunjung berpeluang mendapatkan saringan kesihatan asas dan faktor risiko kanser secara percuma, mengikuti ceramah kesihatan, selain menyertai pengalaman kesejahteraan secara interaktif.

Turut disediakan ialah panduan praktikal berkaitan pencegahan, perlindungan dan pemulihan, termasuk langkah untuk menyokong gaya hidup yang lebih sihat.

View this post on Instagram

A post shared by Allianz Malaysia (@allianzmalaysia)

Menurut Allianz Life, acara itu dijangka memberi manfaat khususnya kepada golongan dewasa muda yang bekerja, keluarga yang sedang berkembang, serta mereka yang perlu mengimbangi keperluan anak-anak dan ibu bapa yang semakin berusia.

Orang ramai yang berminat menyertai Allianz Health Festival 2026 boleh membuat pendaftaran menerusi portal rasmi acara di [SINI].

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved