496 Individu Ditahan, Barangan Bernilai RM 80.11 Juta Dirampas dalam Op Tiris

1 Sep 2024 • 5:57 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Barangan kawalan serta bersusidi bernilai RM 80.11 Juta dirampas

496 Individu Ditahan, Barangan Bernilai RM 80.11 Juta Dirampas dalam Op Tiris. Dilaporkan bahawa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menahan 496 individu dan merampas barang kawalan serta bersubsidi bernilai RM80.11 juta dalam Op Tiris 3.0, yang dijalankan dari 1 Januari hingga 28 Ogos lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, menyatakan bahawa sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 29,487 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negara, dengan 2,005 kes direkodkan.

image is not available
496 Individu Ditahan, Barangan Bernilai RM 80.11 Juta Dirampas dalam Op Tiris. Sumber foto: nst

Op Tiris 3.0 usaha membanteras aktiviti penyelewengan

Menurut beliau, pelaksanaan Op Tiris 3.0 adalah penting dalam usaha membanteras aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan serta barang bersubsidi seperti diesel, petrol RON95, minyak masak dalam polibeg 1 kilogram, gas petroleum cecair (LPG), tepung gandum, dan gula putih bertapis 1 kilogram. Kementerian akan terus meningkatkan usaha penguatkuasaan termasuk memperkukuh kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Sentuhan Kasih dan Advokasi Kepenggunaan di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor, Ben Chong.

image is not available
Sumber foto: Utusan Malaysia

Mematahkan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi

Dalam operasi bersama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), KPDN berjaya mematahkan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi dalam serbuan di tiga premis berasingan di Nilai, Negeri Sembilan, pada 23 Ogos lalu. Dalam serbuan tersebut, sebanyak 180,200 kilogram minyak masak bersubsidi pelbagai jenama telah disita, bersama dengan kenderaan dan dokumen seperti invois jualan dan pembelian. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan hampir RM500,000.

Dalam operasi tersebut, seorang lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing telah ditahan untuk membantu siasatan. Hasil siasatan awal mendapati aktiviti ini dipercayai didalangi oleh sebuah syarikat pemborong minyak masak berlesen yang bertujuan menyeleweng dan menjual minyak masak bersubsidi dalam bungkusan polibeg 1 kilogram pada harga lebih tinggi daripada harga kawalan, serta menyeludupnya ke negara jiran.

image is not available
Sumber foto: Kosmo

Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961

Siasatan sedang dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk mengenal pasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti haram ini, serta rantaian pengedaran minyak masak bersubsidi tersebut.

Kementerian turut mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam rantaian bekalan dan pengedaran minyak masak bersubsidi agar lebih bertanggungjawab memastikan subsidi ini sampai kepada golongan yang layak. Pemborong, peruncit, dan syarikat pembungkus juga diingatkan untuk memastikan tiada ketirisan berlaku, dan syarikat pembungkus akan turut disiasat jika jenama mereka terlibat dalam penyelewengan atau penyeludupan.

Lagi berita terkini untuk anda di sini: