
SABAH memperoleh pelaburan asing berjumlah RM11.9 bilion dalam tempoh dua tahun dari September 2020 hingga bulan lepas.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata negeri ini juga memperoleh pelaburan domestik sebanyak RM942 juta dalam tempoh yang sama.
Beliau berkata perkembangan memberangsangkan dalam pelaburan asing dan domestik itu telah mewujudkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan.
“Jumlah besar pelaburan yang diterima oleh negeri ini mencerminkan keyakinan pelabur bahawa Sabah adalah tempat yang baik untuk menjalankan perniagaan.
“Justeru, Kerajaan Negeri komited untuk menambah baik lagi pelaksanaan dasar bagi mengukuhkan sistem penyampaiannya,” katanya pada pelancaran Festival Seni Bina Borneo 2022 merangkap Konvensyen bertemakan “Borneo Moving Forward” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu pada 21 Okt.
Ucapannya dibacakan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Ketua Menteri menggesa Persatuan Arkitek Malaysia (PAM) dan pertubuhan lain seumpamanya membentuk kerjasama dengan Kerajaan Sabah untuk bersama-sama membangunkan negeri ini.
Beliau senang hati dengan pihak PAM Sabah yang menganjurkan festival seni bina itu bagi melengkapkan usaha Kerajaan Negeri dalam memacu momentum pembangunan.
“Kami tidak pernah berhenti berusaha sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada Oktober 2020. Dan di tengah-tengah pandemik Covid-19, kami merangka pelan pembangunan lima tahun kami - Hala Tuju Sabah Maju Jaya - yang merupakan pelan tindakan penting untuk membawa Sabah ke dekad yang akan datang.
“Sabah berada di landasan yang betul kerana kita mencapai hasil negeri tertinggi sebanyak RM5.449 bilion tahun lepas.
“Dengan penyertaan lebih besar dalam sektor minyak dan gas negeri serta mendapat lebih banyak hasil daripada sumber lain, hasil negeri dijangka melepasi paras RM6 bilion tahun ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ketua Menteri berkata membina lebih banyak bangunan cekap tenaga atau bangunan hijau adalah langkah ke hadapan, selain pemulihan dan pemuliharaan alam semula jadi.
“Ia sesuatu yang menggembirakan bila melihat tema konvensyen ini bertepatan dengan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan yang diterima pakai oleh semua ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2015.
“Agenda ini menyediakan pelan tindakan bersama untuk keamanan dan kemakmuran untuk manusia dan planet ini, sekarang dan sehingga masa hadapan.
“Malah, Kerajaan Malaysia telah berusaha secara aktif ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan mempergiatkan usaha melalui pelbagai kementerian dan agensi dalam mitigasi perubahan iklim dan inisiatif penyesuaian,” katanya.
Menurutnya, usaha mengurangkan kesan perubahan iklim cukup penting dalam agenda Kerajaan Negeri, dan Majlis Tindakan Perubahan Iklim telah ditubuhkan di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan Sabah untuk membincangkan dasar serta tindakan perubahan iklim, memacu pertumbuhan ekonomi hijau, memangkin teknologi hijau dan pertumbuhan rendah karbon.
“Komitmen itu selaras dengan Dasar Negeri Sabah terhadap alam sekitar serta aspirasi negara khususnya dalam proses mitigasi dan adaptasi iklim,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

