hamden04/11/2026 - 18:26 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Nov – Seramai 5.4 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 akan menerima bayaran berjumlah RM1.1 bilion mulai 4 November 2026, dengan pembayaran kepada penerima sedia ada dilaksanakan secara berperingkat sehingga 6 November ini.
Bagaimanapun, penerima baharu dan pemohon rayuan yang diluluskan hanya akan menerima bayaran mulai 16 November 2026.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembayaran STR Fasa 4 itu melibatkan 4.0 juta penerima isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah serta 1.4 juta warga emas tiada pasangan.
Mengikut kategori kelayakan, isi rumah akan menerima bayaran sehingga RM500, manakala warga emas tiada pasangan akan menerima RM150.
Anwar berkata, menerusi STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), kerajaan mengagihkan sebahagian hasil negara kepada golongan yang memerlukan bagi memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan lebih bermaruah tanpa mengira kaum, agama atau lokasi.
"Menjelang sambutan Deepavali, beliau berharap pembayaran STR Fasa 4 dapat meringankan perbelanjaan keluarga yang meraikannya, khususnya masyarakat India yang merangkumi lebih 630,000 penerima bantuan berkenaan.
"Selain itu, bantuan tersebut diharap dapat membantu penerima lain mengurus keperluan harian serta perbelanjaan akhir tahun," katanya dalam kenyataan.
Penerima yang mempunyai akaun bank akan menerima bayaran menerusi pengkreditan terus ke akaun masing-masing, manakala mereka yang tidak mempunyai akaun bank boleh mendapatkan bayaran secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Kemas kini maklumat
Dalam perkembangan berkaitan, seramai 1.68 juta penerima yang tidak mengemas kini maklumat permohonan selama tiga tahun berturut-turut telah diberikan peringatan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) supaya berbuat demikian.
Penerima terlibat disaran mengemas kini maklumat melalui portal rasmi STR bagi membolehkan kelayakan mereka disemak semula untuk tahun 2027, selain memastikan bantuan disalurkan berdasarkan maklumat terkini.
Kerajaan berkata, penstrukturan semula kewangan serta penambahbaikan tadbir urus membolehkan lebih banyak hasil negara disalurkan kepada rakyat yang memerlukan.
Peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi 2026 berjumlah RM15 bilion, iaitu hampir tiga kali ganda berbanding pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 2016.
Maklumat lanjut, semakan status dan soalan lazim STR boleh diperoleh menerusi portal rasmi bantuantunai.hasil.gov.my, manakala maklumat SARA boleh dirujuk di sara.gov.my.
Kementerian Kewangan turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan serta hanya merujuk portal rasmi bagi mendapatkan maklumat terkini. - DagangNews.com






