
SHAH ALAM, 18 JULAI: Kira-kira 5.8 peratus daripada 32 juta populasi rakyat tidak bersekolah atau tercicir daripada sistem pendidikan negara.
Angka itu diperoleh daripada kaji selidik Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2019 membabitkan responden berusia 15 hingga 64 tahun bagi mengetahui prestasi pencapaian pendidikan rakyat, lapor Berita Harian.
Pengarah Bahagian Pembangunan, Produktiviti dan Daya Saing Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berkata hasil dapatan itu turut membimbangkan apabila 72.1 peratus daripada rakyat memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Mohamad Muzaffar Abdul Hamid berkata peratusan itu bakal memberi kesan terhadap produktiviti negara apabila peluang pekerjaan yang dicipta tidak mampu diisi orang muda tempatan.
“Kita percaya golongan yang tidak bersekolah ini terdiri daripada mereka yang lahir daripada keluarga susah, sebilangannya masyarakat Orang Asli dan masyarakat asal Sabah serta Sarawak,” katanya.
Mohamad Muzaffar juga berkata, kajian turut merekodkan hanya 22.1 peratus pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas tamat SPM.
Pada masa sama, purata tahun persekolahan juga menurun berdasarkan laporan Daya Saing Global 2019 oleh World Economic Forum dengan Malaysia berada pada kedudukan 59 pada 2019 berbanding 49 pada 2018 dan 2017.
The post 5.8 peratus rakyat tidak pernah sekolah, jejas produktiviti negara appeared first on Selangorkini.

