5,800 pembayar cukai tampil selepas pelaksanaan e-Invois dengan hasil RM82 juta bukti kurangkan ketirisan, Parlimen diberitahu

LocalBusiness & Finance
4 Dec 2025 • 2:19 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

5,800 pembayar cukai tampil selepas pelaksanaan e-Invois dengan hasil RM82 juta bukti kurangkan ketirisan, Parlimen diberitahu
image is not available
liza04/12/2025 - 14:19 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Dis – Seramai 5,800 pembayar cukai yang sebelum ini tidak patuh telah tampil mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan melaporkan pendapatan bagi tahun taksiran terdahulu berjumlah RM484 juta, yang menyumbang kepada RM82 juta hasil cukai tambahan.

 

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, ia membuktikan pelaksanaan e-Invois di Malaysia menunjukkan impak positif dalam meningkatkan pematuhan cukai dan mengurangkan ketirisan hasil negara.

 

Beliau berkata, selepas setahun pelaksanaannya, e-Invois kini berada di fasa ketiga yang melibatkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan RM5 juta sehingga RM25 juta ringgit yang bermula pada 1 Julai 2025. 

 

“Tahap penerimaan dan pematuhan pembayar cukai terhadap pelaksanaan e-Invois adalah amat baik. Ini dapat dilihat apabila seramai 108,579 pembayar cukai telah berjaya mengeluarkan sebanyak 742.5 juta e-invois setakat 26 November 2025.

 

“Daripada jumlah tersebut, 64,346 pembayar cukai melaksanakan e-invois secara mandatori yang terdiri daripada 5,528 pembayar cukai bagi fasa pertama, 13,966 bagi fasa kedua dan 44,852 bagi fasa ketiga. 

 

“Selain itu, lebih 44,233 pembayar cukai dari fasa keempat dan kelima telah melaksanakan e-Invois secara sukarela,” katanya.

 

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Tan Sri Low Kian Chuan yang meminta penjelasan sejauh mana pelaksanaan e-Invois telah membantu mengatasi ketirisan hasil negara di Parlimen hari ini.

 

Inisiatif e-Invois diperkenalkan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan pentadbiran percukaian negara serta menyokong pertumbuhan ekonomi digital. 

 

Ia dilaksanakan secara berperingkat, dengan fasa keempat dijadual bermula pada 1 Januari 2026 dan fasa kelima pada 1 Julai 2026. 

 

 

 

 

 

 

Bagi setiap fasa, tempoh peralihan enam bulan diberikan supaya perniagaan mempunyai masa mencukupi untuk persediaan pengeluaran e-Invois. Peniaga dengan nilai jualan di bawah RM500,000 dikecualikan buat masa ini.

 

Lim berkata, kerajaan akan terus memantau keberkesanan e-Invois dalam meningkatkan kecekapan operasi perniagaan serta pematuhan cukai, seterusnya membantu menangani isu ketirisan hasil negara. - DagangNews.com

Terkini featured standard