5 Caj Tersembunyi Kereta Terpakai Yang Perlu Anda Tahu

Cars
16 Aug 2022 • 5:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar fail

Dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar ini, membeli kereta baharu pastinya memerlukan kos yang tinggi, justeru bukan sesuatu yang menghairankan apabila sebahagian rakyat Malaysia memilih untuk membeli kenderaan terpakai.

Ini kerana harganya jauh lebih murah berbanding kenderaan baru dan komitmen bulanan juga tidak terlalu membebankan.

Namun, jika anda mahu membeli kereta terpakai, anda perlu meneliti caj-caj tersembunyi terutama ketika proses jual beli dijalanlan.

Perkara ini perlu diberi perhatian bagi mengelakkan anda membayar kostambahan yang tidak sepatutnya.

Ketahui lima caj tersembunyi yang mungkin tidak diketahui oleh pembeli kereta terpakai.

image is not available
Bayaran pemeriksaan PUSPAKOM adalah antara RM20 hingga RM90 sahaja bergantung kepada jenis pemeriksaan dan kenderaan. - Gambar dari laman Facebook

Bayaran Pemeriksaan PUSPAKOM

Proses pemeriksaan ini wajib dijalankan PUSPAKOM ke atas setiap kereta terpakai sebelum proses dipindah milik.

Ini bagi memastikan kenderaan tersebut selamat untuk digunakan di jalan raya. 

Terdapat dua jenis pemeriksaan PUSPAKOM iaitu bagi memastikan tiada unsur atau tanda kereta tersebut adalah kereta potong dan caj pemeriksaan yang dikenakan adalah RM30 manakala pemeriksaan kedua ialah pada bahagian penjajar (alignment) tayar, brek dan meter kelajuan supaya ia berfungsi.

image is not available
Yuran pemprosesan akan dikenakan untuk proses pinjaman bank. - Gambar hiasan dari pexels

Yuran Pemprosesan Pinjaman

Bagi yuran ini pula, ia meliputi caj pengurusan, duti setem pinjaman kereta dan kos kendalian urusan bank dan syarikat kewangan. Lazimnya, duti setem berharga RM20 manakala yuran pemprosesan pula boleh mencecah sehingga RM600. 

Bagi mengelakkan yuran yang terlalu tinggi, anda dinasihatkan untuk meminta penjual membuat pecahan setiap bayaran yang dikenakan. Jika bayaran terlalu tinggi, anda boleh berunding dengan penjual.

Namun terdapat segelintir penjual yang mendiamkan diri tentang hal ini. Sebagai pelanggan, anda berhak mendapatkan maklumat mengenainya.

image is not available
Proses pindah milik perlu dilakukan di pejabat JPJ. - Gambar oleh Sairien Nafis

Kos Pemindahan Hak Milik

Yuran ini wajib dibayar kepada Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ), yang mana kos yang dikenakan bergantung kepada jenis kenderaan. 

Beberapa syarat ditetapkan oleh JPJ bagi proses penukaran hak milik. 

Kadang-kala kos menjadi tinggi disebabkan oleh orang tengah. 

Bagaimanapun menurut laman web JPJ, wakil hanya boleh dilantik bagi pihak pemilik berdaftar atau pemunya baharu bagi kenderaan selain milik persendirian individu.

image is not available
Servis kereta akan dijalankan oleh pihak penjual. - Gambar hiasan

Kos Servis Kereta

Kedai jual beli kereta terpakai akan menyediakan perkhidmatan servis kereta seperti penukaran minyak hitam, alas brek, bateri serta beberapa komponen lain dan ia akan dimasukkan dalam harga.

Kebiasaannya mereka akan meletakkan harga sekurang-kurangnya RM1,000, namun ia bergantung kepada komponen yang perlu ditukar. 

Pembeli disarankan untuk meminta penjual menunjukkan serta menjelaskan apakah komponen yang perlu digantikan terlebih dahulu sebelum bersetuju untuk membuat pembayaran. Pastikan caj tersebut hanya dibayar pada komponen yang perlu ditukar sahaja.

image is not available
Kerajaan pada 20 Jun lalu mengumumkan tarikh akhir pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang kekal pada 30 Jun 2022, namun tempoh pendaftaran kenderaan bagi menikmati insentif pengecualian cukai itu dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023. - Gambar fail

Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST)

Setiap kereta baharu dan terpakai pasti akan dikenakan cukai ini. Dengan jumlah keseluruhan yuran tersembunyi ini, ia boleh menyebabkan anda membuat bayaran tambahan RM4,000 hingga RM5,000 terhadap kereta yang dibeli.

Jadi, lebih baik anda membuat pengiraan sebelum sebelum membelinya. Pelanggan juga boleh hadir ke premis atau laman sesawang yang disyorkan seperti Carsome, EZsellercar.my dan banyak lagi untuk mendapatkan penerangan yang lebih jelas. - Getaran, 16 Ogos 2022