Feature photo credit webmd.com
Bisul adalah sejenis benjolan dipenuhi nanah yang sangat menyakitkan dan kebiasaannya disebabkan oleh bakteria pada folikel di sekeliling kulit (Sumber).
Meskipun sering dianggap tidak memudaratkan, bisul tidak seharusnya dipandang enteng kerana ianya boleh berjangkit ke kawasan berdekatkan sekiranya tidak dirawat dengan betul.
Berikut adalah beberapa cara alternatif yang boleh anda cuba untuk merawat bisul.

1. Guna serbuk kunyit
Menurut kajian, bahan aktif curcumin yang terkandung di dalam kunyit mempunyai ciri-ciri antibakteria dan anti-radang yang kuat. Sifat-sifat ini dikatakan amat berpotensi untuk membantu merawat bisul dengan cepat (Sumber).
Untuk rawatan secara sapuan, campurkan serbuk kunyit dengan air untuk dijadikan sebagai pes dan kemudian disapu di sekitar kawasan bisul sekurang-kurangnya dua kali sehari. Ulang sehingga bisul sembuh.
2. Guna larutan air garam
Selain kunyit, garam juga merupakan salah satu agen antibakteria yang mampu merencatkan pertumbuhan mikrob kerana ia mengurangkan jumlah air sekaligus menghalang bakteria untuk berkembang dengan lebih banyak (Sumber).
Garam dipercayai mampu mengeringkan nanah seterusnya menjadikan bisul lebih mudah untuk dirawat. Cara rawatanya juga tidak rumit, cukup sekadar sapu atau rendam larutan air garam pada permukaan bisul selama 20 minit dan ulang sehingga tiga kali sehari sehingga bisul hilang.

3. Tuam dengan air hangat
Selalunya, bisul akan pecah dan pulih dengan sendiri dalam tempoh beberapa minggu. Untuk mempercepatkan proses tersebut, anda bolehlah tuam disekitar kawasan bisul dengan air hangat (Sumber).
Apa yang penting adalah anda mesti menggunakan tuala yang bersih untuk mengelakkan sebarang jangkitan yang lebih memudaratkan.
4. Sapu minyak semambu
Minyak semambu ataupun lebih popular dengan nama neem’s oil juga merupakan salah satu opsyen yang sering digunakan untuk merawat bisul. Ianya diiktiraf sebagai tumbuhan ubatan yang terkenal dengan ciri antibakteria, antimalaria, antivirus dan antikulat (Sumber).
Cara rawatannya juga sangat mudah, sapu terus ke permukaan bisul dan ulang proses ini beberapa kali sehari sehingga bisul menjadi kering dan baik.
5. Guna bawang putih

Bawang putih juga dikatakan bagus untuk merawat bisul. Tumbuk beberapa ulas bawang putih dan sapukan pada bisul. Seperti biasa, ulang langkah ini beberapa kali sehari sehinggalah bisul kering.
Walaubagaimanapun, sedikit rasa pedih atau ketidakselesaan mungkin boleh berlaku pada awal permulaan tempoh rawatan.
Duan Deris adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!
*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.