
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Awal pagi tadi, media melaporkan mengenai kejadian kepala air di Sungai Pertak, Hulu Selangor yang menyebabkan lapan individu dilaporkan hilang.
Difahamkan, tujuh daripada lapan lelaki yang dihanyutkan arus deras itu merupakan warga asing manakala seorang lagi mangsa yang ditemui lemas awal pagi tadi merupakan warga tempatan.
3 Mangsa Tragedi Kepala Air Sungai Pertak Masih Hilang, Kawasan Pencarian Dibahagikan Empat Sektor
Terbaharu, lima daripada lapan individu terbabit yang dihanyutkan oleh arus dalam insiden kepala air berkenaan ditemui lemas sehingga jam 1.30 tengah hari tadi.
Manakala, usaha mengesan tiga lagi mangsa masih giat dijalankan sehingga kini.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Wan Md Razali Wan Ismail, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ketiga-tiga mangsa itu diteruskan dengan kawasan pencarian dibahagikan kepada empat sektor.
“Sektor A membabitkan kawasan Lata Jebus hingga Lubuk Pertak, manakala Sektor B dari Lubuk Pertak ke jambatan.
“Sektor C pula dari jambatan ke empangan dan Sektor D membabitkan kawasan Empangan Pertak,” katanya yang dipetik dari Berita Harian.
7 Daripada 8 Mangsa Adalah Warga Asing
Jelas Wan Md Razali, tiga mangsa yang hilang antaranya merupakan seorang lelaki warga Yaman yang berusia 20 tahun.
Manakala, empat mangsa sebelum ini yang ditemui kira-kira jam 9.29 pagi dan 10.12 pagi merupakan warga Nepal, India, Sri Lanka dan seorang lagi masih belum dikenal pasti.
“Tiga mayat ditemukan di kawasan berhampiran Jambatan Senget, kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dihanyutkan arus.
“Seorang lagi mangsa ditemukan di bawah akar kayu, kira-kira 1.1 kilometer dari lokasi kejadian kepala air,” katanya.
Manakala, mangsa pertama yang ditemukan merupakan warga tempatan dan berusia 36 tahun ditemui kira-kira jam 1.30 pagi tadi iaitu 2.7 kilometer dari lokasi kejadian.
Identiti 3 Mangsa Telah Dikenal Pasti
Memetik Sinar Harian, tiga identiti daripada lima mangsa yang ditemui telahpun dikenal pasti.
Tiga mangsa tersebut adalah:
- V Vijayan yang merupakan warganegara Malaysia (36 tahun)
- Kapali yang merupakan warga Nepal (49 tahun)
- B Kunjanmalayil yang merupakan warga India (35 tahun)
111 Anggota Dari Pelbagai Agensi Terlibat Dalam Operasi SAR
Tambah Wan Md Razali, seramai 111 anggota daripada pelbagai pasukan dan agensi telah digerakkan dalam operasi SAR sehingga jam 12.55 tengah hari tadi.
Ia termasuklah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pasukan bomba sukarela.
“Pasukan bomba yang terbabit merangkumi anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dan Unit Anjing Pengesan (K9).
“Operasi turut dibantu anggota dari ibu pejabat JBPM, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia serta beberapa agensi lain,” jelasnya.
Senarai Mangsa Yang Dilapor Dihanyutkan
Berikut merupakan senarai mangsa yang dilaporkan hanyut dalam tragedi kepala air di Sungai Pertak:
- Al Maamari Ahmed Hadi Ali, 20 (Yaman)
- V Vijayan, 36 (Malaysia)
- B Kunjanmalayil, 35 (India)
- Chinnasamy Duraimurugan, 36 (India)
- Monikkoth Raghunath (India)
- Kapali, 49 (Nepal)
- Seorang lelaki (warganegara Sri Lanka)
- Seorang lelaki (warganegara India)
Percutian Bertukar Jadi Tragedi – Rakan Mangsa
Dalam pada itu, seorang pemuda dari Yaman yang dikenali sebagai Muhammad tidak menyangka percutian di Sungai Pertak bersama rakannya bertukar menjadi tragedi.
Jelas penuntut kolej swasta di ibu negara itu, dia bersama rakannya bercadang untuk berkelah di tapak perkhemahan tersebut sempena cuti Deepavali dan sampai di lokasi kira-kira jam 5 petang semalam (9 November).
“Cuaca ketika itu dalam keadaan baik dan tiada sebarang petanda insiden kepala air akan berlaku.
“Tiga daripada kami kemudian mandi di tebing sungai berhampiran sebelum arus sungai tiba-tiba bertukar menjadi deras sebelum menghanyutkan mereka.
“Dua daripada rakan kami berjaya menyelamatkan diri namun seorang lagi gagal ditemui,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Saksi Dakwa Kepala Air Berlaku Secara Mendadak
Saksi lain kejadian berkenaan yang dikenali sebagai B Partiban menjelaskan, mendiang Vijayan hadir ke kawasan air terjun itu bersama rakannya yang juga merupakan warga asing,
Jelas Partiban, saudaranya itu dijadualkan menyertai kumpulan pengunjung untuk beriadah dan mandi di sungai berkenaan.
“Saya tiba di air terjun itu agak lewat berbanding Vijayan. Kepala air berlaku secara mendadak dengan menghanyutkan kayu balak kira-kira jam 5.30 petang.
“Arus sungai terlalu deras. Ketika itu kami hanya mampu berdiri dan melihat batu besar turut dihanyutkan arus. Saya tidak sedar Vijayan turut dihanyutkan arus `kepala air’ ketika itu,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: 5 Tips Kesan Kehadiran Kepala Air Ketika Berada Di Sungai
Baca Artikel Berkaitan: Kejadian Kepala Air Di Lata Iskandar Cetus Kerisauan Ramai [Video]




