
PENYAMPAI radio dan pengacara, Aishah Sinclair, berkongsi pengalaman mencemaskan apabila terpaksa menerima rawatan di hospital selepas mengalami kemalangan ketika menggunakan alat pemotong makanan atau chopper pada Sabtu lalu.
Menerusi perkongsian di Instagram, Aishah, 46, memaklumkan insiden tersebut menyebabkan kesemua lima jari tangan kanannya mengalami kecederaan dan perlu dijahit.
Penyampai MixFM itu tidak menafikan kemalangan yang berlaku adalah disebabkan kelalaiannya, namun mendakwa alat yang digunakan juga tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan asas yang sepatutnya ada.
"Insiden malang melibatkan alat pemotong makanan (chopper/blender) berlaku Sabtu lalu menyebabkan saya dimasukkan ke hospital.
"Kesemua lima jari tangan kanan saya terpaksa dijahit. Saya diberikan cuti sakit selama dua minggu dan yang paling menyeksakan, saya dilarang minum kopi selama dua bulan.
"Ya, ia berpunca daripada kecuaian saya sendiri tetapi alat pemotong itu tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan asas yang sepatutnya ada.
"Saya akan berkongsi penjelasan lebih lanjut menerusi satu video nanti supaya perkara ini tidak berlaku kepada orang lain," titipnya di Instagram.

Aishah turut diberikan cuti sakit selama dua minggu bagi membolehkan proses pemulihan berjalan dengan baik.
Dedahnya lagi, setiap kali mengenangkan kejadian itu, dia membayangkan keadaan yang mungkin lebih buruk boleh berlaku.
Pada masa sama, Aishah turut merakamkan penghargaan kepada pasukan perubatan yang merawatnya serta semua yang mendoakan kesihatannya.
"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana keadaan ini tidak menjadi lebih buruk. Bila memikirkannya semula, memang membuatkan saya seram sejuk.
"Saya juga berterima kasih kerana mendapat rawatan dan penjagaan yang terbaik daripada Datuk Dr Rashdeen, Dr Aamir serta jururawat-jururawat yang sangat baik di KPJ Selangor," tulisnya.
Kini, dia memilih untuk memberi fokus kepada proses pemulihan dan belajar melakukan aktiviti harian menggunakan sebelah lagi tangan.
"Terima kasih banyak atas semua doa, ucapan dan kasih sayang yang diberikan. Sekarang, fokus saya adalah untuk sembuh, menonton pelbagai rancangan dan belajar melakukan banyak perkara menggunakan tangan kiri," kongsi Aishah.
