5 Negeri, 1 Wilayah Dijangka Hujan Hingga Malam Ini

17 Jan 2025 • 6:24 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

5 Negeri, 1 Wilayah Dijangka Hujan Hingga Malam Ini

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan lima negeri dan satu Wilayah Persekutuan sehingga 8 malam ini.

Menerusi muat naik di laman Facebook, jabatan tersebut meramalkan hujan lebat di seluruh Wilayah Persekutuan Labuan.

Tiada hujan lebat dijangka berlaku di utara dan pantai timur kecuali beberapa daerah di Pahang. Antara kawasan yang tersenarai termasuk Bentong, Bera, Pekan dan Rompin.

Di Selangor, MetMalaysia menjangkakan daerah Klang dan Kuala Langat mengalami hujan lebat dan ribut petir malam ini.

Manakala di Negeri Sembilan, daerah yang terlibat hanya Jelebu dan Jempol.

Beralih ke Sarawak, Miri dan Limbang dijangka bakal terima hujan lebat, angin kencang dan ribut petir.

Begitu juga beberapa daerah di Sabah iaitu Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort dan Keningau) dan Pantai Barat (Papar).

Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga ketika memandu dan elakkan berada di lokasi berisiko.

image is not available
Kredit: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir ATAU dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” maklum jabatan berkenaan.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan pada tahap buruk dan waspada yang melibatkan beberapa negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak

Amaran tersebut terpakai bermula hari ini sehingga 19 Januari mengikut tahap masing-masing.

Beberapa daerah di Sabah menerima amaran hujan berterusan pada tahap buruk hari ini. Kawasan yang tersenarai ialah Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan).

Dalam pada itu, beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak turut menerima amaran hujan berterusan pada tahap waspada. Bagi Sabah, amaran yang melibatkan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Kinabatangan) dan Kudat ini berkuat kuasa sehingga hari ini sahaja.

Manakala bagi Sarawak, amaran yang hujan berterusan pada tahap waspada ini berkuat kuasa sehingga 18 Januari. Antara kawasan yang terlibat ialah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song dan Kapit) dan Bintulu.

Di Semenanjung, hanya beberapa kawasan di Johor tersenarai dalam amaran hujan berterusan pada tahap waspada bermula hari ini sehingga 19 Januari. Keadaan ini dijangka melibatkan daerah Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) (1) (2)