5 Produk Indonesia Yang ‘Digilai’ Di Malaysia

LocalBusiness & Finance
17 Aug 2025 • 5:53 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

5 Produk Indonesia Yang ‘Digilai’ Di Malaysia

Umum diketahui, Malaysia merupakan salah satu destinasi eksport utama bagi negara-negara jiran, termasuk Indonesia.

Menurut laporan media Indonesia, produk tempatan mereka bukan sahaja mendapat sambutan di pasaran dalam negeri. Malah, ia turut meraih permintaan tinggi di Malaysia.

Produk buatan Indonesia ini dikatakan ‘laris manis’ dan berjaya menambat hati pengguna Malaysia.

Berikut ialah lima produk Indonesia yang dilaporkan mendapat sambutan hangat di pasaran Malaysia.

1. Beras – Primadona di pasaran Malaysia

Indonesia sememangnya terkenal sebagai pengeluar hasil pertanian, khususnya beras. Menurut Jawa Pos, Malaysia dilaporkan menjadi antara pembeli tetap produk ini.

Malah, Jawa Pos melaporkan bahawa kerajaan kedua-dua negara sedang berbincang untuk meningkatkan kuota eksport beras dari Indonesia.

Langkah ini dikatakan diambil bagi memenuhi permintaan pasaran beras yang semakin tinggi di Malaysia.

2. Fesyen Muslim

Industri fesyen muslim Indonesia kian mencuri perhatian di Malaysia. Koleksi seperti jubah, hijab dan tunik moden mendapat permintaan tinggi, terutamanya menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

Menurut Jawa Pos, rekaan produk Indonesia yang moden, material yang selesa dan harga berpatutan menjadikan fesyen muslim Indonesia terus mendapat tempat di hati pengguna Malaysia.

3. Makanan yang diproses

Produk makanan yang diproses seperti mi segera, kopi dan pelbagai snek khas Indonesia dilaporkan sebagai antara pilihan utama pengguna Malaysia.

Rasanya yang unik serta mudah didapati menjadikannya kegemaran ramai, lapor Jawa Pos.

Malah, Jawa Pos melaporkan bahawa eksport makanan proses ke Malaysia meningkat sehingga 7.6 peratus dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

4. Perabot

Perabot buatan Indonesia, terutamanya daripada kayu jati dan mahogani, semakin mendapat permintaan tinggi di Malaysia.

Kualiti yang kukuh serta reka bentuk yang moden menjadikan produk ini diminati bukan sahaja untuk kegunaan rumah, malah juga dalam sektor perhotelan dan pameran perabot.

Jawa Pos turut menyebut bahawa eksport perabot Indonesia berjaya meraih ratusan ribu dolar di pasaran Malaysia.

5. Produk kraf tangan

Produk kraf tangan seperti anyaman, ukiran kaligrafi dan tirai buluh juga mendapat sambutan hangat di Malaysia.

Persamaan budaya antara kedua-dua negara memudahkan produk ini diterima masyarakat, jelas Jawa Pos.

Data eksport menunjukkan peningkatan sekitar 10 peratus setiap tahun, menjadikan industri ini salah satu peluang besar bagi usahawan kecil dan sederhana (PKS/UMKM) Indonesia, tambah Jawa Pos.

Malaysia pasaran emas untuk produk Indonesia?

Berdasarkan laporan ini, jelas bahawa Malaysia merupakan pasaran eksport yang berpotensi besar bagi produk tempatan mereka.

Bermula dari keperluan asas seperti beras sehinggalah ke produk gaya hidup, semuanya mempunyai kelompok pengguna tersendiri di Malaysia.

Kunci kejayaan eksport ini, menurut laporan tersebut, adalah kualiti produk yang konsisten, strategi pemasaran digital yang berkesan serta rangkaian logistik yang boleh dipercayai.

Sumber: Jawa Pos