5 Projek Pembangunan Dimulakan Di Pahang, Libat Perancangan Jangka Panjang

LocalPolitics
11 Apr 2025 • 9:12 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Perdana Menteri (tengah) menandantangani buku pelawat di Wisma Sri Pahang hari ini - Gambar PMO

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju memulakan peringkat awal lima projek pembangunan yang menjadi keutamaan di Pahang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu diputuskan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Pahang bersama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Kuantan hari ini.

Menurut beliau, mesyuarat terbabit turut disertai barisan kepimpinan kerajaan negeri. 

“Dalam mesyuarat tersebut, saya telah dibentangkan dengan pelbagai projek pembangunan dan perancangan jangka panjang melibatkan aspek infrastruktur asas seperti jalan raya, tebatan banjir, kesihatan, perkilangan, perumahan.

“Saya telah bersetuju dengan cadangan untuk memulakan kerja awalan bagi projek yang menjadi keutamaan di negeri Pahang,” katanya menerusi hantaran di Facebook. 

image is not available
Gambar PMO

Kesemua projek tersebut ialah Pembinaan Persimpangan Bertingkat Bukit Rangin, Jalan Kuantan-Chukai (FT03), Penaiktarafan Jalan FT012 Jalan Kuantan-Segamat sepanjang 51km dan Pakej 6 bagi Central Spine Road.

Turut disenaraikan ialah kerja Penaiktarafan Jalan dari Kampung Padang ke Persimpangan Lampu Isyarat LPT1 (Fasa 2) dan Pembinaan baharu Klinik Kesihatan Jenis 7  berserta 10 unit Kuarters Kelas F di Pos Lenjang, Pahang.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat turut meneliti bilangan terkini warga miskin tegar di Pahang yang bakal dinoktahkan menjelang hujung bulan April. 

“Saya percaya melalui perancangan dan pelaksanaan projek yang dirancang dengan teliti, ia mampu membawa manfaat kepada warga Pahang serta limpahan pembangunan kepada negara.

“Di penghujung sesi mesyuarat, saya memberi penekanan terutamanya kepada barisan kepemimpinan negeri untuk lantas tingkatkan prestasi serta perkemas prinsip ‘good governance’ agar negeri dan negara dapat terus dilonjak ke tahap yang lebih cemerlang dan bermakna,” katanya. - Getaran, 11 April 2025