5 Tip Tabiat Pemakanan Snek Bijak Lewat Malam Sempena Demam Piala Dunia 2022 

27 Nov 2022 • 12:18 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Bagi yang memilih untuk menonton Piala Dunia di rumah, makanan ringan menjadi kegemaran kerana ia mudah didapati pada bila-bila masa - Gambar Hiasan

Demam bola sepak kini kembali melanda dunia. Piala Dunia FIFA 2022 pasti membuatkan ramai peminat sukan ini tidak berganjak dari skrin televisyen untuk menyaksikan perlawanan demi perlawanan. Terutamanya apabila melibatkan pasukan kegemaran masing-masing.

Ketika inilah kita akan menyaksikan restoran-restoran mamak riuh-rendah dengan penyokong yang hadir untuk menyaksikan perlawanan di layar gergasi sambil menjamu selera. Bagi yang memilih untuk menonton di rumah, makanan ringan menjadi kegemaran kerana ia mudah didapati pada bila-bila masa.  

Namun, sedarkah anda bahawa piza, burger, keropok ikan, biskut dan pelbagai makanan manis boleh memudaratkan kesihatan jika ia diambil dengan tidak terkawal? 

image is not available
Sedarkah anda bahawa piza, burger, keropok ikan, biskut dan pelbagai makanan manis boleh memudaratkan kesihatan jika ia diambil dengan tidak terkawal?Gambar hiasan Unsplash

Maklumlah apabila terlalu asyik dengan perlawanan bola, tangan juga rancak menyuap makanan ke dalam mulut sehingga kita cuai dalam menjaga pengambilan makanan yang betul. 

“Ada banyak sebab kita makan, dan kajian mendedahkan kita cenderung makan secara berlebihan apabila kita kurang memberi perhatian, bosan atau tertekan. 

“Semasa musim Piala Dunia ini, kita pasti akan gigih bersorak untuk pasukan kegemaran, namun jangan lupa memberi perhatian kepada apa yang kita makan. 

“Ketahui apa yang tubuh kita perlukan. Ini termasuklah cara kita menilai pengambilan makanan ketika perhatian kita mudah teralih,” ulas Ketua Nutrisi SEA di Mondelēz International Lim Chain Yin. 

image is not available
Lim Chain Yin - Gambar ihsan Mondelēz International

Hakikatnya, snek atau makanan ringan bukanlah sesuatu yang buruk dan pasti mengundang masalah kesihatan. Namun, cara untuk menikmatinya adalah sangat penting.

 Anda seharusnya mengambil dan menikmati snek dengan tujuan. Gunakan deria-deria tubuh dan fahami kehendak tubuh. Apa yang ingin anda makan, mengapa anda makan dan perasaan anda ketika menikmati makanan.

Berikut adalah lima tip untuk tabiat pemakanan snek bijak yang mudah untuk diamalkan sepanjang musim Piala Dunia FIFA 2022:

 

1. Bahagikan snek kepada beberapa porsi

Bahagikan snek kepada dua atau tiga saiz hidangan setelah memilih snek untuk menggalakkan anda makan dengan lebih perlahan. Sambil anda menikmati snek, peka kepada keperluan tubuh dan perasaan anda, dan tanya pada diri sama ada anda sudah berasa kenyang dan berpuas hati sebelum menghabiskan saiz hidangan yang ada. 

image is not available
Bahagikan snek kepada dua atau tiga saiz hidangan setelah memilih snek - Gambar hiasan Pexels

Pastikan anda juga peka terhadap saiz hidangan setiap bungkusan snek. Untuk mendapatkan gambaran sebenar, tuang atau isi snek ke dalam mangkuk atau pinggan untuk melihat kuantiti sebenarnya. 

 

2. Ubah pilihan snek anda

Ketika menyaksikan perlawanan pada larut malam, perut anda mungkin tiba-tiba akan berasa lapar walaupun anda sebenarnya sudah pun menikmati makan malam.

image is not available
Pilih snek yang lebih ringan dan dapat memberikan anda tenaga, namun tidak susah dihadam - Gambar hiasan Pexels

Jika ini berlaku, cepat-cepat pujuk hati dan ingatkan diri bahawa tubuh perlu bekerja lebih keras jika anda makan pada lewat malam ketika anda sedang tidur. 

Pilih snek yang lebih ringan dan dapat memberikan anda tenaga, namun tidak susah dihadam seperti kekacang atau buah. 

 

3. Kunyah perlahan-lahan

Menikmati snek sambil melakukan aktiviti lain seperti menonton perlawanan bola sepak boleh membawa kepada tabiat makan berlebihan.

Jadi, nikmatilah snek anda dengan semua deria-deria tubuh. Bagi meningkatkan kepuasan menikmati snek, tumpukan perhatian kepada bau, rasa, tekstur, bentuk dan warna makanan anda. Ambil suapan yang kecil dan kunyah makanan secara perlahan-lahan.

image is not available
Bagi meningkatkan kepuasan menikmati snek, tumpukan perhatian kepada bau, rasa, tekstur, bentuk dan warna makanan anda - Gambar hiasan Unsplash

 

4. Simpan snek di tempat yang sukar dilihat dan dicapai 

Ketika menyaksikan perlawanan di rumah, pastikan snek anda jauh dari pandangan mata dan sukar untuk dicapai dengan tangan. Ini boleh mengelakkan anda daripada terus makan tanpa henti dan tanpa disedari anda sebenarnya sudah terlebih makan.

image is not available
Pastikan snek anda jauh dari pandangan mata dan sukar untuk dicapai dengan tangan - Gambar hiasan Unsplash

 

5. Minum lebih banyak air

Otak sebenarnya sentiasa memperdayakan kita untuk makan lebih, namun ia mungkin sekadar tindak balas tubuh terhadap rasa dahaga. Jadi, minumlah segelas air dan tunggu beberapa minit sebelum menentukan sama ada anda benar-benar lapar atau tidak.

image is not available
Minumlah segelas air dan tunggu beberapa minit sebelum menentukan sama ada anda benar-benar lapar atau tidak - Gambar Hiasan Pixabay

Amalan snek bijak merupakan cara mudah untuk memenuhi keperluan tubuh badan tanpa rasa bersalah. Ia boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja, tidak kira di mana jua, bentuk makanan yang diambil dan di setiap julat usia. 

Selain itu, ia juga membantu kita menjalin hubungan positif dengan tubuh badan dengan makanan, menerusi pilihan yang lebih proaktif dan bijak. Tabiat pemakanan memerlukan masa untuk dipupuk dan diubah. 

Oleh itu, jadikan tip ini sebagai panduan mudah untuk anda ‘berjuang’ di musim demam bola sepak ini sebagai titik permulaan menuju ke arah kehidupan yang lebih sihat. Untuk inspirasi snek bijak, anda boleh layari www.snackmindful.com. - Getaran, 27 November 2022