
BANGKOK: Dianggarkan 50,000 individu di Thailand hidup dengan HIV tanpa menyedari mereka dijangkiti, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap penularan berterusan ketika negara itu merekodkan sehingga 9,000 jangkitan baharu setiap tahun.
Jabatan Kawalan Penyakit Thailand mengaitkan kadar jangkitan yang kekal tinggi itu dengan amalan seks tidak selamat, bukannya disebabkan kekurangan akses kepada ujian atau rawatan.
Menurut jabatan itu, hubungan seks tanpa perlindungan membawa risiko jangkitan HIV lima hingga sembilan kali lebih tinggi, manakala peningkatan kes sifilis turut menunjukkan corak yang sama.
Jurucakap jabatan itu, Dr Virawat Manosuddhi, berkata kes sifilis meningkat hampir tiga kali ganda dalam kalangan remaja, dikaitkan dengan penggunaan kondom yang tidak konsisten.
Jabatan itu berkata, golongan berusia 15 hingga 24 tahun menyumbang kira-kira 47 peratus daripada sekitar 9,000 jangkitan baharu HIV yang direkodkan di Thailand setiap tahun.
Thailand kini merekodkan antara 8,000 hingga 9,000 jangkitan baharu HIV setahun, lebih lapan kali ganda berbanding sasaran kurang daripada 1,000 kes setahun yang diperlukan negara itu untuk menamatkan AIDS sebagai masalah kesihatan awam menjelang 2030.
Kadar itu kekal tidak berubah sejak lima tahun lalu, manakala jangkita HIV dalam kalangan golongan muda terus meningkat, menurut Pusat Penyelidikan AIDS Palang Merah Thailand.
Timbalan Pengarah pusat itu, Profesor Madya Dr Opass Putcharoen, menyifatkan trend berkenaan sebagai hampir kritikal jika berterusan.
Beliau berkata, jangkitan kelamin lain termasuk sifilis, gonorea dan klamidia turut meningkat, terutama dalam kalangan golongan muda.
Katanya, jika tidak dirawat, jangkitan HIV biasanya berkembang menjadi AIDS dalam tempoh lima hingga 10 tahun, dengan jangkitan oportunistik seperti tuberkulosis boleh berlaku, sekali gus menjadikan rawatan jauh lebih sukar dan mahal.- AGENSI
The post 50,000 rakyat Thailand tidak sedar dijangkiti HIV appeared first on Utusan Malaysia.
