
SELEPAS tiga hari melancarkan tabung bantuan khas buat anak pelakon Amyza Aznan iaitu Adrian Adam, selebriti terkenal Datuk Aznil Nawawi berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM136,954.90!
Jumlah kutipan itu sekali gus menyentuh hati ramai termasuk Amyza sendiri yang tidak dapat menahan sebak mengenangkan keprihatinan rakyat Malaysia.
Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil berkata, kutipan berkenaan berjaya dikumpulkan dalam tempoh kira-kira 50 jam sebelum diserahkan kepada Amyza untuk kegunaan rawatan Adrian dan saraan keluarga.
Menerusi podcast Kita Kita Aje, Pak Nil mengumumkan penyerahan dana tersebut dan menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan.

"Terima kasih kepada semua yang memberikan sumbangan, infak, doa dan percaya kepada Pak Nil.
"Satu sen pun daripada wang ini tidak digunakan untuk tujuan peribadi, semuanya akan diserahkan kepada Amyza Aznan dan anaknya.
"RM136,954.90, inilah rakyat Malaysia. Inilah wang yang akan diserahkan kepada kalian.
"Gunakanlah duit ini sebaik mungkin untuk tujuan rawatan Adrian dan juga saraan Amyza sekeluarga," katanya.
Sementara itu, Amyza turut meluahkan rasa syukur dan terharu atas bantuan yang diterima.

"Terima kasih kepada penyumbang kerana berada di dalam kasut saya. Saya tidak meminta semua ini. Saya kehilangan kata-kata.
"Saya doakan buat semua yang membantu dan sayangkan anak-anak, ALLAH akan pasti balas segala-galanya berjuta kali ganda," tutur Amyza dalam sebak.
Dalam temu bual bersama KoolFM pula, Pak Nil mendedahkan Amyza pada awalnya keberatan untuk menerima bantuan kerana bimbang dipandang serong selain tidak mahu penggunaan dana dipersoalkan.
Kata Pak Nil, pelakon Mat Despatch itu juga bimbang ia memberi impak kepada Adrian.
“Bukan mudah hendak meyakinkan Amyza untuk buat kutipan ini. Dia tak mahu orang kata dia meminta-minta dan kemudian mempertikaikan cara wang itu digunakan.
“Dia juga tidak mahu anak-anaknya termasuk Adrian yang sedang melalui dugaan tertekan dengan kata-kata orang.
"Kadang-kadang tekanan boleh menyebabkan stres dan keadaan itu mungkin memberi kesan kepada kesihatan Adrian dan merebak lebih cepat.

“Saya beritahu, mereka tidak meminta pun. Pak Nil yang usahakan supaya pengikut dapat membantu.
“Jadi Amyza tak perlu rasa tertekan. Bantuan ini memang untuk rawatan dan saraan keluarga.
“Dengan keadaan Adrian sekarang, kita tidak boleh ambil risiko untuk menunggu. Rawatan perlu dipercepatkan,” katanya.
SinarPlus terdahulu berkongsi inisiatif Pak Nil membuka kutipan tabung bantuan untuk Adrian sejak Rabu lalu.
Adrian terdahulu disahkan menghidap osteosarkoma atau kanser tulang pada 19 Februari lalu.
Sekadar info, Pak Nil sebelum ini pernah membuat kutipan dana membantu penggiat seni seperti penyanyi Zamani dan Allahyarham Ibnor Riza.
Sumber: Instagram KoolFM, TikTok @datukaznilnawawi






