51 dewasa, 30 kanak-kanak berdaftar di tapak perkhemahan

16 Dec 2022 • 2:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Antara mangsa tanah runtuh yang berjaya diselamatkan berada di Balai Polis Hulu Yam Bharu dan diberi rawatan oleh pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL). - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Seramai 51 dewasa dan 30 kanak-kanak mendaftar untuk bermalam di tapak perkhemahan ​​​​di ​Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, yang dilanda tanah runtuh awal pagi tadi, kata individu bertanggungjawab di tapak perkhemahan itu yang hanya ingin dikenali sebagai Chang.

"Jumlah itu terdiri daripada mereka yang telah mendaftar di tapak perkhemahan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Bagaimanapun Chang berkata, beliau tidak pasti sama ada terdapat kanak-kanak berusia bawah empat tahun di tapak perkhemahan kerana mereka tidak perlu mendaftar, dan hanya kanak-kanak berumur antara empat dan 12 tahun perlu mendaftar.

Chang berkata, mereka yang berkhemah kebanyakannya mempunyai pertalian keluarga dan tidak melibatkan kumpulan pelajar sekolah atau universiti.

Laporan awal media menyebut kira-kira 100 orang berada di tapak perkhemahan itu yang dikhuatiri terperangkap dalam kejadian tanah runtuh berketinggian 30 meter berhampiran ladang organik berkenaan.

Setakat 11 pagi, 53 mangsa telah dibawa keluar dari tempat kejadian manakala sembilan maut dalam kejadian itu.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan di lokasi kejadian. - Bernama