55 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi susulan bencana Nepal, China – Wisma Putra

14 Sep 2026 • 9:51 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi susulan bencana Nepal, China – Wisma Putra

55 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi selepas banjir dan tanah runtuh di Nepal dan China, dengan usaha pencarian dan pengesahan status diteruskan

KUALA LUMPUR: Rekod semasa Kementerian Luar kekal seramai 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi susulan banjir dan tanah runtuh di Nepal dan China, manakala usaha untuk mendapatkan kepastian mengenai status setiap individu terus dilaksanakan. 

Kementerian yang juga dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), yang kembali dari Nepal pada Isnin, akan memberikan taklimat kepada kementerian mengenai penugasan serta maklumat yang diperoleh sepanjang operasi di lapangan.

Sepanjang penugasan, SMART melaksanakan aktiviti pencarian di kawasan yang boleh diakses dengan selamat dan dibenarkan oleh pihak berkuasa Nepal.

Pencarian itu termasuk operasi di darat serta tinjauan udara menggunakan dron, manakala maklumat yang diperoleh akan diteliti oleh Wisma Putra bersama agensi Malaysia yang berkaitan bagi menentukan tindakan susulan yang bersesuaian.

Wisma Putra menegaskan bahawa berakhirnya penugasan SMART di lapangan tidak bermakna usaha untuk mendapatkan kepastian mengenai status rakyat Malaysia terbabit telah tamat dan tidak mengubah status semasa mereka.

“Kesemua 55 rakyat Malaysia itu kekal direkodkan sebagai masih belum dapat dihubungi sementara proses berkaitan bagi menentukan status setiap individu terus dilaksanakan,” menurut kementerian.

Berdasarkan maklumat terkini yang diterima dari Nepal, pihak berkuasa negara itu terus melaksanakan usaha pencarian, pengesahan dan pengecaman susulan bencana berkenaan.

Sebagai sebahagian daripada sokongan Malaysia terhadap usaha tindak balas bencana Nepal, SMART turut memberikan latihan pengendalian dron kepada anggota penyelamat Nepal dan menyerahkan sembilan buah dron kepada Kerajaan Nepal melalui National Disaster Risk Reduction and Management Authority (NDRRMA).

Tindakan susulan Malaysia di Nepal akan diteruskan melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu yang akan mendapatkan maklumat secara langsung daripada NDRRMA dan pihak berkuasa Nepal yang berkaitan.

Kedutaan Besar juga akan membuat semakan dengan hospital serta agensi berkaitan, selain melaksanakan semakan atau lawatan susulan sekiranya keadaan keselamatan mengizinkan serta setelah mendapat kelulusan pihak berkuasa Nepal.

Di China, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing akan terus berhubung dengan pihak berkuasa China yang berkaitan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana itu serta sebarang maklumat yang dapat membantu dalam menentukan status mereka.

Wisma Putra berkata kementerian memahami kebimbangan dalam kalangan keluarga yang masih menantikan kepastian mengenai insan tersayang dan kekal berhubung secara langsung dengan waris terdekat.

Menurut kementerian, sekiranya terdapat perkembangan yang telah disahkan mengenai status seseorang rakyat Malaysia, waris terdekat akan dimaklumkan terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman dibuat kepada umum.

Kementerian turut menggesa orang ramai dan pihak media supaya menghormati privasi keluarga yang terlibat serta tidak membuat spekulasi mengenai mana-mana individu yang statusnya masih belum dapat disahkan.

“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan berdasarkan maklumat yang telah disahkan melalui saluran rasmi,” menurut kementerian.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved