
PUTRAJAYA: Jumlah rakyat Malaysia yang terlibat dengan banjir besar di daerah Rasuwa, Nepal mungkin lebih daripada 57 orang seperti dimaklumkan Kementerian Luar.
Ini susulan terdapat kemungkinan warganegara Malaysia memasuki kawasan yang terjejas melalui China dan India.
Setakat pukul 7 petang semalam, dua daripada 57 rakyat Malaysia yang terlibat dilaporkan telah berjaya dikesan.
Semalam, Jabatan Pelancongan Nepal menyenaraikan 51 rakyat Malaysia yang masih terputus hubungan susulan kejadian berkenaan daripada keseluruhan 668 individu dari pelbagai negara.
Setakat ini, tragedi itu mengorbankan sekurang-kurangnya 469 nyawa dengan lebih 1,400 orang masih hilang.
Kementerian Luar menerima laporan daripada ahli keluarga, rakan dan majikan berhubung 57 warganegara Malaysia yang belum dapat dihubungi susulan banjir besar itu.
Rakyat Malaysia itu kebanyakannya menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan termasuk Kailash Journey, Leaf Holiday, Fishtail dan Dream Tibet Travel and Tour.
Bencana itu menenggelamkan bandar, jalan raya dan jambatan apabila arus deras membawa bersama ais dan batuan merempuh kawasan pergunungan.
Sekumpulan saintis mendedahkan, runtuhan glasier besar-besaran dan tanah runtuh dipercayai menjadi punca banjir kilat dahsyat yang melanda Rabu lalu.
Wisma Putra memaklumkan, Perwakilan Diplomatik Malaysia di rantau berkenaan sedang membuat semakan lanjut berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pihak berkuasa dan agensi berkaitan di Nepal.
Katanya, pihak berkuasa tempatan di Nepal telah melaporkan bahawa 31 warga asing berjaya diselamatkan setakat ini.
Namun, Kementerian Luar belum menerima pengesahan sama ada terdapat rakyat Malaysia dalam kalangan individu yang diselamatkan.
“Kementerian turut menerima maklumat bahawa terdapat kemungkinan warganegara Malaysia memasuki kawasan yang terjejas melalui China dan India.
“Sehubungan itu, ahli keluarga kepada warganegara Malaysia yang sedang berada atau melakukan perjalanan di rantau berkenaan dan masih belum berdaftar digesa untuk menyalurkan maklumat berkaitan kepada kementerian,” katanya.
Jelasnya, Perwakilan Diplomatik Malaysia turut bekerjasama dengan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Kementerian Luar Negeri Nepal dan Lembaga Pelancongan Nepal bagi menyemak maklumat mengenai warganegara Malaysia yang belum dapat dihubungi.
Katanya, pihak polis, agensi keselamatan, pihak berkuasa tempatan dan penduduk di Nepal sedang melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan yang terjejas akibat banjir, di samping mengevakuasikan keluarga dari lokasi yang berisiko dilanda banjir susulan.
“Berikutan kerosakan teruk pada laluan darat serta gangguan komunikasi di sebahagian besar kawasan yang terjejas, helikopter digunakan secara meluas bagi operasi berkenaan.
“Individu yang memerlukan rawatan perubatan segera diterbangkan ke hospital utama di Kathmandu manakala mereka yang mengalami kecederaan ringan menerima rawatan di pusat perubatan di kawasan terjejas,” katanya.
Ujarnya, Bilik Operasi Kementerian Luar di Putrajaya beroperasi 24 jam bagi menyelaras maklumat dan membantu warganegara Malaysia di kawasan yang terjejas serta ahli keluarga mereka.
Ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan, termasuk nama penuh, nombor pasport, jadual perjalanan, lokasi terakhir dan nombor telefon yang boleh dihubungi digesa menghubungi Kementerian melalui saluran berikut:
Bilik Operasi Kementerian Luar Negeri
Telefon: +60388874570
E-mel:dutyofficer@kln.gov.my
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan melakukan yang terbaik mengesan rakyat Malaysia yang masih berada di kawasan terjejas.
Beliau berkata, kerja-kerja menyelaras bantuan juga sedang dilakukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, selain bantuan kewangan, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menghantar pasukan mencari dan menyelamat ke negara itu. – UTUSAN
The post 55 rakyat Malaysia tidak dapat dikesan appeared first on Utusan Malaysia.






