55 tahun bertapak bukan alasan selesa, LKIM perlu terus cipta kejayaan!

10 Nov 2026 • 10:12 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Sambutan ulang tahun ke-55 Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bukan sekadar meraikan pencapaian lalu, sebaliknya menjadi peringatan kepada seluruh warga agensi itu supaya terus melakukan perubahan bagi memastikan organisasi kekal relevan dan berdaya saing.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kejayaan yang dicapai sepanjang lebih lima dekad penubuhan LKIM perlu dijadikan asas untuk memperkukuh peranan agensi berkenaan khususnya dalam pembangunan industri perikanan dan menjaga kebajikan masyarakat.

Muhammad Faiz berkata, perubahan perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan LKIM tidak ketinggalan, selain mampu mengekalkan kestabilan dan kelestarian organisasi untuk jangka masa panjang.

“Kita harus ada perubahan. Kedudukan kita selama 55 tahun ini harus sustain. Jika tidak, kita akan ketinggalan.
“Tanpa sustainability, kita akan jatuh.
“People always look at the present, not the past. Untuk kita terus kukuh dalam arena perjuangan di sektor pertanian ini, kita harus terus mencipta kejayaan hari ini dan masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-55 LKIM di Puchong, hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz mengingatkan bahawa masa depan sesebuah organisasi bergantung kepada tindakan dan usaha yang dilakukan pada masa kini, bukannya sekadar perancangan tanpa pelaksanaan.

Image from: 55 tahun bertapak bukan alasan selesa, LKIM perlu terus cipta kejayaan!

Foto arkib: FB LKIM

Ujarnya, setiap warga LKIM perlu mempunyai semangat untuk melakukan pembaharuan supaya agensi itu terus berkembang dan mampu menghadapi cabaran industri pada masa hadapan.

“Untuk kita terus kukuh dalam arena perjuangan di sektor pertanian ini, kita harus terus mencipta kejayaan hari ini dan masa depan.
“Cakap tentang masa depan, it starts today. The future starts today, not tomorrow,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menekankan bahawa LKIM mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan sumber makanan negara sentiasa mencukupi, selain memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu, katanya agensi berkenaan perlu terus memperkukuh usaha menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan, khususnya kepada komuniti nelayan serta generasi muda.

“Rakyat perlukan peluang pekerjaan. Rakyat perlukan peluang perniagaan,” katanya.

Muhammad Faiz turut menyentuh usaha mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih menyeluruh menerusi penganjuran program melibatkan anak-anak nelayan serta kerjasama dengan pelbagai pihak.

Beliau menjelaskan bahawa setiap inisiatif yang diperkenalkan bukan bertujuan mengangkat kepentingan individu, sebaliknya memastikan LKIM terus berkembang sebagai sebuah institusi yang mampu memberikan manfaat kepada rakyat.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Faiz mengingatkan kakitangan LKIM supaya sentiasa mengutamakan perpaduan, kerjasama dan sikap saling menghormati bagi memastikan segala perancangan organisasi dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Tambahnya, kejayaan tidak mungkin dicapai sekiranya setiap individu hanya memikirkan kepentingan sendiri tanpa mengambil kira sumbangan dan tanggungjawab rakan sekerja.

“Kalau kita hanya fikir tentang diri kita, kita tak akan berjaya. Hanya dengan perpaduan kita akan berjaya,” tambah beliau.
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved