SHAH ALAM, 25 FEB: Sebanyak 56 Alat Defibrilator Luaran Automatik (AED) ditempatkan di bangunan Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan dan anak syarikat bagi meningkatkan keupayaan menangani kes kecemasan serangan jantung.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata melibatkan peruntukan kira-kira RM492,000, alat itu buat permulaan diagih di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Bangunan Darul Ehsan, Bangunan Sultan Idris Shah, bangunan pentadbiran pihak berkuasa tempatan serta Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Selangor.

Beliau berkata, ia langkah proaktif memastikan bantuan kecemasan awal disediakan kepada mereka yang memerlukan selain memastikan bantuan perubatan tidak hanya tersedia di hospital dan klinik, tetapi tempat awam yang sentiasa dikunjungi rakyat.
“Ini amat penting, untuk kita mengatasi kejadian kecemasan serangan jantung yang sedikit sebanyak disebabkan gaya hidup kurang sihat dalam kalangan masyarakat,” katanya berucap merasmikan Majlis Penyerahan AED di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri hari ini.
Ditemui selepas majlis itu, Amirudin berkata alat berkenaan dibekalkan Worldwide Medivest Sdn Bhd iaitu anak syarikat Worldwide Holdings Berhad dengan kos lebih rendah daripada pasaran.
“Worldwide Medivest memang terlibat dalam menghasilkan alatan kesihatan dan mereka juga turut menyediakan latihan kepada setiap jabatan supaya (AED yang dibekalkan) dapat digunakan secara terlatih,” katanya.

Sementara itu, Amirudin memaklumkan operasi ambulans Kita Selangor dijangka bermula Jun depan, melibatkan empat pihak berkuasa tempatan iaitu Shah Alam, Klang, Petaling Jaya dan Subang Jaya.
“Kita menyediakan RM1 juta sahaja, tapi kos keseluruhan mungkin besar. Kita sedang aturkan dengan pihak berkuasa tempatan selain berbincang dengan pengendali ambulans swasta untuk dapatkan harga dan perkhidmatan terbaik.
“Ia bagi membolehkan perkhidmatan itu boleh diselaraskan nanti dengan sistem seperti Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan sebagainya supaya dapat menyediakan ekosistem rawatan kecemasan awal yang cekap dan cepat.
“Kita sasarkan untuk semua pihak berkuasa tempatan (memiliki ambulans) tapi kita mulakan dengan empat terlebih dulu mengambil kira kemampuan untuk mereka ini menanggung sebahagian kos,” katanya.
Belanjawan 2025 memperuntuk RM1 juta melalui Tabung Selangor Bangkit bagi penyediaan perkhidmatan Ambulans Kita Selangor secara percuma agar rakyat yang memerlukan dapat memanfaatkan perkhidmatan itu bagi tujuan kecemasan tanpa perlu risau mengenai kos.

The post 56 AED bantuan kecemasan awal kes serangan jantung di lokasi awam appeared first on Selangorkini.
