56 kapal GSF mula berlayar dari Itali ke perairan antarabangsa menuju Gaza

28 Apr 2026 • 6:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 56 kapal GSF mula berlayar dari Itali ke perairan antarabangsa menuju Gaza
Sebanyak 56 kapal di bawah Global Sumud Flotilla mula belayar keluar dari Pelabuhan Catania, Itali ke perairan antarabangsa menuju ke Gaza dalam satu misi yang bertujuan memecahkan sekatan ke atas wilayah Palestin.

SHAH ALAM - Sebanyak 56 kapal di bawah Global Sumud Flotilla (GSF) mula belayar keluar dari Pelabuhan Catania, Itali ke perairan antarabangsa menuju ke Gaza dalam satu misi yang bertujuan memecahkan sekatan ke atas wilayah Palestin.

Sumud Nusantara Command Center (SNCC) dalam satu kenyataan memaklumkan, bagaimanapun terdapat beberapa buah kapal yang kini sedang menjalani proses teknikal dan pembaikan di Pelabuhan Catania.

Menurutnya, kapal-kapal berkenaan akan menyusul dan menyertai semula armada utama sebaik sahaja proses pembaikan disempurnakan.

"Dalam masa sama, turut melaporkan keseluruhan 36 orang rakyat Malaysia yang terdiri daripada jurutera bot, kapten, pasukan perubatan, kru kapal, penganjur dan peserta kini berada dalam keadaan sihat serta bersemangat tinggi untuk meneruskan fasa pelayaran ini.

"Pihak urus setia sentiasa memantau tahap keselamatan dan kebajikan semua krew bagi memastikan kelancaran operasi di perairan antarabangsa," ujarnya pada Selasa.

SNCC memberitahu, satu penyesuaian tugasan telah dibuat melibatkan tiga orang delegasi Malaysia berikutan beberapa kapal yang telah mengalami kerosakan teruk.

Tambah SNCC, delegasi berkenaan melibatkan Nur Heliza Helmi, Nur Hazwani Afiqah Helmi, dan Nurul Hidayah Mohd Amin.

Jelasnya, mereka telah selamat tiba di tanah air dan akan memulakan tugas rasmi di pangkalan SNCC Sepang yang kini turut berfungsi sebagai Pangkalan Operasi Serantau melibatkan penyelarasan strategik dari tujuh buah negara.

"Kami sekali lagi menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi dalam menjayakan misi ini dan menggesa rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan moral serta mendoakan keselamatan seluruh armada Global Sumud Flotilla.

"Pihak media dan orang awam dinasihatkan agar merujuk kepada SNCC sebagai sumber maklumat sahih bagi mengikuti perkembangan terkini misi," ujarnya.