
SEJAK Israel menduduki kota Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa pada Jun 1967, Israel tidak pernah berhenti berusaha untuk merobohkan Masjid Al-Aqsa dan membina sebuah kuil Yahudi di tempatnya melalui pelbagai siri tindakan Yahudisasi dan pencabulan.
Antara yang paling ketara ialah cubaan membakar Masjid Al-Aqsa pada 21 Ogos 1969.
Jenayah pembakaran itu tercetus pada awal pagi apabila seorang pengganas Zionis warga Australia, Denis Michael Rohan, bertindak membakar Masjid Al-Qibli iaitu ruang solat utama di Masjid Al-Aqsa.
Api bermula dari Mimbar Salahuddin yang bersejarah sebelum merebak ke bumbung, bahagian-bahagian lain, serta perabot masjid, terutamanya di bahagian timur.
PERANAN PIHAK PENDUDUKAN DALAM JENAYAH
Peristiwa yang berlaku menunjukkan adanya peranan jelas oleh pihak berkuasa penjajah dalam kebakaran tersebut. Penjenayah itu tinggal di sebuah penempatan Zionis dan berada di bawah penjagaan para peneroka.
Ketika kebakaran berlaku, pihak berkuasa penjajah memutuskan bekalan air ke Masjid Al-Aqsa dan kawasan sekitarnya. Pada masa sama, kenderaan bomba milik Perbandaran Baitulmaqdis yang dikendalikan oleh pihak penjajah sengaja dilambatkan daripada tiba di lokasi kebakaran.
Keadaan itu menyebabkan para jemaah terpaksa berusaha mengawal kebakaran menggunakan pakaian dan peralatan yang serba sederhana.
Siasatan teknikal membongkar kebakaran berpunca dari dua titik berasingan. Hal ini membuktikan kejadian tersebut merupakan pelan dirancang, bukannya tindakan individu secara bersendirian.
Meskipun polis Israel menahan penjenayah tersebut pada awalnya, perkembangan seterusnya menunjukkan penahanan itu sekadar lakonan untuk meredakan kemarahan umat Palestin.
Dia dihadapkan ke perbicaraan olok-olok, didakwa mengalami masalah mental, lalu diusir ke Australia sehinggalah dia meninggal dunia pada tahun 1995.
KERUGIAN PERADABAN
Peradaban manusia dan dunia Islam telah kehilangan warisan sejarah serta budaya yang amat bernilai. Antara kerugian paling ketara termasuklah:
- Mimbar Salahuddin yang bersejarah: Karya seni bina nadir yang dibina menggunakan teknik cantuman kayu (tanggam) tanpa sebarang paku. Pembinaannya diilhamkan oleh pemimpin Muslim, Nuruddin Zanki, semasa perjuangan membebaskan Al-Aqsa. Walaupun beliau tidak sempat menyaksikan pembebasan tersebut sepanjang hayatnya, Salahuddin Al-Ayyubi kemudiannya membawa dan memasang mimbar ini di Masjid Al-Aqsa selepas kemenangan dalam Pertempuran Hattin serta pembebasan Baitulmaqdis pada tahun 583 H / 1187 M.
- Musalla Umar, yang mempunyai bumbung diperbuat daripada tanah liat dan rasuk kayu.
- Mihrab ‘Zakariya’ yang terletak di bahagian timur Masjid Al-Qibli.
- Tiga daripada tujuh koridor Masjid Al-Qibli besertaserta sebahagian bumbung yang runtuh ke tanah ketika kebakaran.
- Hiasan mozek bersalut emas permulaan Surah Al-Isra’yang terletak di atas mihrab sepanjang 23 meter di bahagian timur.
- Rasuk kayu berukir yang digunakan untuk menggantung lampu dan terletak di antara tiang-tiang.
- 48 bingkai tingkap yang diperbuat daripada kayu, plaster, dan kaca berwarna yang unik dengan teknik ukiran condong pada plaster bagi membiaskan cahaya matahari terus ke dalam masjid.
KESAN POLITIK
Tragedi ini mencetuskan kecaman antarabangsa. Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersidang dan meluluskan Resolusi 271 (1969) yang mengecam Israel serta mendesaknya membatalkan semua tindakan yang boleh mengubah status Baitulmaqdis.
Resolusi itu menyatakan bahawa Majlis Keselamatan melahirkan rasa duka yang mendalam atas kerosakan parah akibat kebakaran di Masjid Al-Aqsa pada 21 Ogos 1969 di bawah pendudukan ketenteraan Israel, serta menyedari kerugian besar terhadap warisan kebudayaan kemanusiaan.
Kebakaran itu mencetuskan kemarahan besar dalam kalangan masyarakat Arab dan umat Islam. Para pemimpin negara-negara tersebut kemudiannya berkumpul di Rabat pada 25 September 1969 dan memutuskan untuk menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam, yang kemudiannya dikenali sebagai Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Israel pada awalnya membayangkan kemarahan ini akan bertukar menjadi ancaman kewujudan terhadap mereka. Namun begitu, tindak balas yang menyusul sekadar terhad kepada perhimpunan bantahan, kenyataan kecaman, dan penubuhan OIC semata-mata.
APA YANG BERLAKU SETERUSNYA?
Realiti semasa menunjukkan ‘api’ pencerobohan masih marak di Al-Aqsa. Hal ini terbukti menerusi usaha Yahudisasi berterusan yang bertujuan membahagikan Masjid Al-Aqsa.
Pihak pendudukan secara praktikalnya telah melaksana pembahagian masa dengan melarang umat Islam memasuki Al-Aqsa pada waktu tertentu dalam sehari, sementara pada waktu yang sama membenarkan penceroboh Yahudi masuk untuk menjalankan ritual Taurat serta upacara keagamaan mereka. Dari sudut pembahagian tempat pula, mereka terus berusaha merampas kawasan timur al-Aqsa untuk dijadikan tapak kuil.
Selain itu, Masjid Al-Aqsa terus menyaksikan pencerobohan secara agresif serta usaha menarik kuasa daripada pentadbiran Islam Masjid Al-Aqsa, termasuk dalam urusan kerja-kerja pemulihan, pelantikan pengawal, pengurusan pentadbiran dan halaqah hafazan Al-Quran.
Kesemua usaha ini dilihat sebagai satu langkah yang jelas untuk mengubah Masjid Al-Aqsa menjadi sekadar sebuah tapak arkeologi di bawah pengawasan Kementerian Arkeologi Israel, jauh daripada kesucian, simbolisme dan kedudukan agama Islamnya.
Kini, di bawah pentadbiran rejim sayap kanan pimpinan Benjamin Netanyahu yang dianggotai kelompok radikal keagamaan, wacana mengenai kemunculan ‘Lembu Betina Merah’ (Red Heifer) semakin galak dilaungkan.
Menurut kepercayaan ritual mereka, abu pembakaran lembu ini kononnya akan ‘menyucikan’ jutaan penceroboh Yahudi untuk menceroboh dan menguasai fizikal Masjid Al-Aqsa secara besar-besaran.
Bagaimanakah kita menghidupkan peristiwa ini dan membendung bahaya yang semakin meruncing?
Peristiwa tragedi ini amat penting bagi mendedahkan sejauh mana ancaman zionis dan komplot yang sedang dirancang terhadap Al-Aqsa. Justeru, setiap individu dan institusi bertanggungjawab untuk:
- Menjaga kelangsungan isu Masjid Al-Aqsa agar sentiasa hidup di dalam sanubari, ruang wacana, dan perbincangan masyarakat.
- Memelihara kesucian Al-Aqsa dengan menyalurkan sokongan politik, moral, dan kewangan kepada para Murabitin (penjaga al-Aqsa).
- Mengambil langkah perundangan di peringkat antarabangsa bagi mendesak pihak pendudukan mematuhi resolusi global dan menghentikan sebarang campur tangan ke atas Al-Aqsa.
- Meningkatkan kesedaran umum mengenai realiti semasa Masjid Al-Aqsa dan menyebarkannya secara meluas kepada segenap lapisan masyarakat. –UTUSAN
DR. Sharif Abu Shamalah ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia.
The post 57 tahun, Al-Aqsa terus diancam appeared first on Utusan Malaysia.



