581 pelajar sekolah diberi pendedahan keusahawanan melalui STEM

30 Jun 2022 • 5:56 PM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available

Seramai 581 pelajar sekolah sekitar daerah Muar, Johor diberi pendedahan keusahawanan melalui bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) ketika menyertai program FAST STEMpreneurship 2.0 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh, Muar, Johor pada 21 Jun lalu.

STEMpreneurship merupakan satu program perniagaan berasaskan STEM yang melibatkan inovasi dalam bidang sains dan teknologi.

Program anjuran pelajar kelas keusahawanan, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) itu memberi pendedahan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah tentang bagaimana bidang STEM boleh menjana pendapatan.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Muar, Roslan Atan, meluahkan keterujaannya atas usaha pelajar UTHM dalam memberi pendedahan keusahawanan dalam bidang STEM kepada pelajar sekolah.

“Saya berharap program sebegini dibuat secara berkala bagi membantu pelajar sekolah lebih memahami bidang STEM,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

image is not available
Sekumpulan pelajar yang sedang memberi perhatian kepada penerangan yang diberikan.

Sementara itu, Dekan FAST, Profesor Madya Dr Mohamad Zaky Noh pula berkata, ini merupakan kali pertama program anjuran FAST menerima penyertaan paling ramai.

“Keterujaan pihak sekolah untuk melihat konsep keusahawanan yang ditonjolkan dalam bidang STEM menjadikan sambutan yang diterima faktor adalah sangat menggalakkan,” jelas beliau.

STEMpreneurship 2.0 merupakan program yang melibatkan kerjasama semua program pengajian di FAST.

FAST berharap agar penganjuran program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang bagi mendekatkan UTHM dengan komuniti setempat dan seterusnya meningkatkan nama universiti.

Artikel berkaitan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok