
MELAKA: Polis Melaka menahan 59 pengunjung sebuah pusat hiburan di Melaka Raya di sini semalam kerana positif dadah jenis ketamin.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata kesemua mereka yang terdiri daripada 30 lelaki dan 29 wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an itu ditahan dalam serbuan kira-kira 3 petang.
“Dalam serbuan berkenaan, pihak polis pada mulanya memeriksa sebanyak 108 pengunjung yang berada dalam pusat hiburan tersebut namun hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas mereka mendapati 59 orang daripadanya positif ketamin.
“Kesemua mereka yang positif dadah direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pihak polis tidak akan berkompromi dengan pengusaha pusat hiburan sekiranya dikesan melanggar undang-undang dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat di talian 06-284222. -Bernama

