597 notis kesalahan merokok dikeluarkan di Tapak Warisan Dunia Georgetown sejak 2022

LocalHealth & Fitness
5 Jun 2026 • 4:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 597 notis kesalahan merokok dikeluarkan di Tapak Warisan Dunia Georgetown sejak 2022
Daniel (empat dari kanan) melancarkan Program Pelancaran Bahan Promosi dan Tinjauan Pulau Pinang Bebas Asap Rokok Pulau Pinang 2026 di Lebuh Armenian pada Jumaat.

GEORGE TOWN – Sebanyak 597 notis kesalahan merokok telah dikeluarkan di kawasan Tapak Warisan Dunia (UNESCO) Georgetown menerusi 114 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan sejak tahun 2022 sehingga tahun ini.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, tindakan itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kawasan warisan berkenaan kekal sebagai zon larangan merokok.

“UNESCO Georgetown ini telah diwartakan sebagai kawasan zon larangan merokok sejak tahun 2015 dan usaha ini diteruskan bagi memastikan kawasan warisan ini kekal sebagai zon larangan merokok.

“Kita memahami bahawa selain pendidikan awam, tindakan penguatkuasaan juga perlu dilaksanakan bagi memastikan pematuhan di kawasan ini,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Pelancaran Bahan Promosi dan Tinjauan Pulau Pinang Bebas Asap Rokok Pulau Pinang 2026 di Lebuh Armenian di sini pada Jumaat.

Menurutnya, kawasan UNESCO Georgetown kekal sebagai zon larangan merokok di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Beliau berkata, sebanyak 106 notis kesalahan merokok dikeluarkan sepanjang tahun lalu manakala setakat tahun ini sebanyak 127 notis telah direkodkan.

“Walaupun operasi penguatkuasaan dipertingkatkan tahun lalu, jumlah notis yang dikeluarkan ketika itu hampir sama, namun tahun ini kita dapat lihat peningkatan jumlah notis kesalahan yang dikeluarkan,” katanya.

Tambah Daniel, setiap individu yang didapati melakukan kesalahan merokok di kawasan larangan akan dikenakan kompaun RM250 serta-merta.

“Jika didapati melakukan kesalahan merokok di kawasan larangan, mereka akan terus dikenakan notis kompaun RM250,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain UNESCO Georgetown, beberapa kawasan lain di negeri ini turut diwartakan sebagai zon larangan merokok di bawah Akta 852 antaranya Taman Perbandaran Jalan Utama, Taman Botani Jalan Air Terjun, Empangan Air Itam, Empangan Mengkuang, Taman Bandar Ampang Jajar dan kawasan Empangan Teluk Bahang.