amree04/11/2026 - 17:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Nov — Seramai 598 individu berprofil tinggi termasuk VVIP, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dikenal pasti gagal memenuhi tanggungjawab pendaftaran atau caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi pembantu rumah.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, mereka merupakan sebahagian daripada sejumlah 10,033 majikan bagi pekerja domestik yang berjaya dikenal pasti agensi berkenaan sebagai tidak mematuhi kewajipan tersebut berdasarkan semakan PERKESO setakat 1 November 2026.
Beliau berkata, PERKESO turut mengenal pasti kira-kira 26,669 majikan yang mempunyai tunggakan caruman dan memerlukan proses semakan lanjut serta tindakan susulan. Definisi pekerja domestik turut meliputi tukang kebun, pemandu, penjaga warga emas dan pengasuh kanak-kanak.
"Senarai berkenaan merangkumi kelompok yang lebih luas dan bukan terhad kepada golongan tertentu," jelas Ramanan apabila ditanya mengenai sama ada individu berprofil tinggi tersebut turut melibatkan mana-mana Menteri atau timbalan Menteri dalam pentadbiran kerajaan sekarang.
Beliau menyatakan demikian selepas majlis penyerahan faedah PERKESO kepada waris-waris mangsa tragedi banjir dan bencana tanah runtuh Nepal di ibu pejabat agensi berkenaan pada Rabu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kedudukan, pangkat, pengaruh atau status seseorang tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai majikan, khususnya dalam memastikan kebajikan pekerja domestik dilindungi.

Menurut Ramanan lagi, pekerja domestik bukan hanya merujuk kepada pembantu rumah, malah merangkumi tukang kebun, pemandu, penjaga warga emas dan pengasuh kanak-kanak yang turut memainkan peranan penting dalam sesebuah isi rumah.
"Sehubungan itu, saya mengarahkan PERKESO supaya dapat mempergiatkan lagi usaha pemantauan dan penguatkuasaan tanpa kompromi, selain memberi tempoh kepada majikan terbabit sehingga 7 Disember 2026 untuk menjelaskan tunggakan caruman masing-masing," tegasnya.
Ramanan memberi amaran bahawa majikan yang gagal berbuat demikian akan berdepan tindakan undang-undang, bermula dengan pengeluaran kompaun sebelum tindakan lanjut termasuk denda sehingga RM10,000 atau hukuman penjara, atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut memberi amaran bahawa nama majikan yang terlibat boleh didedahkan kepada umum sekiranya tiada langsung tindakan diambil selepas tamat tempoh lanjutan diberikan itu.
Pendedahan itu menekankan kepentingan pematuhan kewajipan keselamatan sosial oleh semua majikan tanpa mengira kedudukan atau latar belakang, selain memastikan pekerja domestik mendapat perlindungan sewajarnya di bawah sistem keselamatan sosial negara. - DagangNews.com




