Usia 9 tahun sudah pandai jahit PPE

29 Apr 2020 • 8:15 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KUALA PILAH - Biarpun baharu berusia sembilan tahun namun kehebatan Nur Afia Qistina Zamzuri dalam bidang jahitan sehingga mampu menyiapkan peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan harus dipuji.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Saiful Yazan Sulaiman berkata, Nur Afia Qistina diibaratkan sebutir permata dari Kampung Kepis Hilir yang mempunyai bakat besar dalam dalam bidang tersebut.

"Nur Afia Qistina mengisi waktu terluangnya dengan menyiapkan PPE. Pada usia semuda itu, dia membantu kedua orang tuanya dengan cara ini berbeza dengan rakan sebayanya yang lain.

"Kehebatannya ini adalah mencerminkan asuhan dan didikan ibu dan ayahnya," katanya selepas menyampaikan sumbangan duit raya serta buah kurma di kediaman keluarga ini di Kampung Kepis Hilir, Johol semalam.

image is not available

Saiful Yazan berkata, beliau difahamkan bahawa ibu Nur Afia Qistina hanya mengambil tempahan menjahit pakaian secara kecil-kecilan tetapi mampu mendidik seorang anak yang berbakat besar dalam bidang jahitan.

"Saya yakin dengan izin-NYA, suatu hari nanti adik Nur Afia Qistina akan berjaya dalam bidang yang diceburi dan mampu mengharumkan nama keluarga serta masyarakat Johol," katanya.

Sementara itu, ibunya, Hasnah Hud, 38, berkata, sehingga kini sebanyak 130 PPE telah disiapkan dan diserahkan kepada pihak Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.

"Ketika ini kami sedang menyiapkan tempahan baju raya pelanggan kerana bahan untuk menjahit PPE telah habis dan masih menunggu penghantaran daripada pihak HTAN," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian menerusi ruangan Sinarplus menyiarkan kisah, Nur Afia Qistina, 9, yang tangkas menyiapkan set PPE sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk kegunaan barisan hadapan.




Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved