
KUALA LUMPUR - Proses evakuasi semua rakyat Malaysia yang terkandas di Hat Yai dan daerah sekitar susulan banjir besar di Selatan Thailand berjaya dilaksanakan disepenuhnya.
Jurucakap Kementerian Luar berkata, 6,222 warga Malaysia telah diselamatkan dalam operasi yang disifatkan sebagai salah satu usaha pemindahan terbesar yang dikoordinasikan kementerian itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut beliau, misi berkenaan digerakkan melalui kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Konsulat Jeneral di Songkhla serta lebih 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan sukarelawan dari Malaysia.
Pada hari terakhir operasi, kumpulan terakhir seramai 12 rakyat Malaysia berjaya dibawa keluar dengan selamat melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam.
Sementara itu, Hat Yai kekal dalam keadaan hampir lumpuh sepenuhnya selepas dilanda banjir besar minggu lalu, yang disifatkan penduduk datang seperti tsunami.
Kesemua premis perniagaan dan hotel di pusat bandar mengalami kerosakan teruk apabila paras air menenggelamkan keseluruhan tingkat bawah bangunan, disertai arus deras yang memusnahkan struktur terbabit.
Ribuan kenderaan termasuk milik pelancong Malaysia turut rosak dan ditinggalkan dalam keadaan berselut, malah ada yang terbalik dan bertindih antara satu sama lain.
Dianggarkan sekitar 1,000 kenderaan rakyat Malaysia terkandas di bandar berkenaan.
Pegawai Perhubungan Antarabangsa Majlis Daerah Kubang Pasu, Ahmad Qusyairi Ahmad Zaini menyifatkan kemusnahan kali ini sangat dahsyat dan proses pemulihan dijangka mengambil masa yang panjang.
“Saya baru pulang dari Hat Yai semalam dan keadaannya amat menyedihkan seolah-olah dilanda tsunami.
“Hampir semua kedai dan hotel rosak, kenderaan terbalik di mana-mana,” katanya, seperti dilaporkan Kosmo.
Beliau turut memaklumkan beberapa restorannya di Hat Yai musnah dengan tingkat bawah ditenggelami air sehingga paras siling, manakala kereta serta dua motosikalnya turut musnah.
“Rumah saya naik air hampir ke tingkat dua. Syukur isteri saya selamat ketika kejadian,” ujarnya yang juga Exco Majlis Belia Negeri Kedah.
Dalam pada itu, penduduk kini berdepan keadaan sukar untuk membersihkan kediaman serta premis perniagaan kerana bekalan air dan elektrik masih belum pulih.
Buat masa ini Hat Yai sudah tiada apa untuk pelawat Malaysia. Semua hotel rosak dan mungkin mengambil masa lebih sebulan untuk kembali pulih,” katanya.
Usaha sedang dijalankan bagi mengeluarkan kenderaan milik rakyat Malaysia yang terperangkap, namun ramai dijangka menanggung kerugian sendiri.
"Kebanyakan kenderaan tidak mempunyai perlindungan insurans bencana alam, jadi pemilik mungkin terpaksa menanggung kos pembaikan,” katanya lagi. - Getaran, 29 November 2025



