‘6 Jahanam’ Dihukum Gantung: Rakyat Bertepuk Tangan, Keadilan Untuk Zulfarhan

24 Jul 2024 • 8:20 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain - Gambar Facebook

KUALA LUMPUR – Tragedi menimpa pegawai kadet laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 2017 sememangnya menggemparkan seluruh negara.

Kekejaman yang dilakukan ke atas mangsa melampaui batas pemikiran manusia normal dan amat sukar dicerna akal yang waras. 

Sembilan puluh tekapan seterika pada tubuh mangsa termasuk di bahagian kemaluan adalah perbuatan yang teramat sadis dan zalim.

image is not available
Kesan kecederaan pada tubuh Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain

Justeru, keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas enam tertuduh kes disambut dengan penuh kesyukuran oleh rakyat Malaysia.

image is not available
Enam tertuduh yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana membunuh Zulfarhan Osman Zulkarnain

Menjengah ke X, hampir semua menyifatkan hukuman berkenaan adalah satu keadilan buat Allahyarham dan keluarganya. 

Nyawa dibalas nyawa, netizen menyifatkan keputusan dibuat panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail itu adalah balasan setimpal buat kesemua tertuduh.

PuraPuraMike di akaun @Mike_Devo menerusi ciapan di X berkata, hukuman terbabit adalah keadilan buat Allahyarham dan keluarganya.

“Nyawa ganti nyawa. Biar rasa apa yang keluarga Zulfarhan rasa. Keadilan buat arwah. Semoga tenang, terbang tinggi Zulfarhan,” katanya.

image is not available

Pendapat senada disuarakan Racun Shopeeing di akaun @SuperringMY.

Katanya, hukuman dijatuhkan sememangnya satu keputusan yang tepat.

“Ni baru orang cakap nyawa dibalas nyawa. Keputusan yang memang tepat.

“Harap tidak ada ruang rayuan untuk mereka,” katanya.

image is not available

Sementara itu, pempengaruh yang juga bekas guru, Mohd Fadli Salleh berkata, semua institusi pendidikan termasuk sekolah wajar menjadikan tragedi menimpa Zulfarhan sebagai satu pengajaran dan tauladan.

“Mangsa buli sampai mati. Pembuli turut ke tali gantung.

“KPM (Kementerian Pendidikan) dan Menteri Pendidikan perlu highlightkan kes ini, buat hebahan menyeluruh. Biar kes buli di Malaysia pupus sama sekali,” katanya.

Jelas Mohd Fadli, kes buli sememangnya berlaku di kebanyakan sekolah berasrama.

“Termasuk di tahfiz, sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) pun tidak terkecuali.

“Semoga kejadian ini membangkitkan satu fenomena besar-besaran melawan isu buli di sekolah, IPTA (institusi pengajian tinggi awam), IPTS (institusi pengajian tinggi swasta) dan mana-mana asrama,” katanya. – Getaran, 24 Julai 2024

View Original Article