
Cuti sekolah hampir sahaja tiba dan inilah masa yang tepat untuk anda dan keluarga merancang percutian. Jika anda sudah bosan melancong ke tempat-tempat yang “overrated” dan terlalu penuh dengan pengunjung, apa kata anda cuba lawati tempat-tempat yang bertemakan “dark tourism” pula.
Apa itu “dark tourism”?
Istilah “dark tourism” semestinya sesuatu yang tidak asing lagi dalam kalangan penggiat sektor pelancongan mahupun buat para pengembara. Secara ringkas, definisi “dark tourism” ini melibatkan aktiviti pelancong yang melancong ke tempat-tempat yang berkaitan dengan kematian, bencana, tragedi, penganiayaan dan apa-apa sahaja yang bertemakan ngeri.
Artikel ini akan berkongsi enam tempat menarik yang bertemakan “dark tourism” di Malaysia.
1. Kellie's Castle, Perak.
Istana Kellie atau Kellie Castle telah dibina pada tahun 1915 oleh seorang pengurus pertanian daripada Scotland bernama William Kellie Smith. Istana ini dibina untuk isterinya yang tercinta bernama Helen sebagai lambang cinta di samping meraikan kelahiran anak kedua mereka selepas 11 tahun menunggu.
Walau bagaimanapun, pembinaan istana ini tidak dapat disiapkan sepenuhnya selepas kematian William akibat jangkitan kuman dalam paru-paru atau pneumonia. Berikutan dengan kejadian itu, Helen akhirnya menjual istana ini kepada sebuah syarikat British yang bernama Harrisons and Crosfield.
Namun, istana ini ditinggalkan dan akhirnya menjadi tapak bersejarah pada tahun-tahun kemudiannya. Desas-desus ada mendakwa istana ini mempunyai bilik-bilik tersembunyi dan corong- corong di bawah tanah.
Harga tiket bagi rakyat Malaysia dewasa ialah RM8 dan kanak-kanak ialah RM3.
Harga tiket bagi pelancong luar dewasa ialah RM10 dan kanak-kanak ialah RM5.
Waktu operasi bermula dari jam 9.00 am hingga 6.00 pm setiap hari.
Muzium perang yang terletak di Batu Maung, Pulang Pinang ini telah dikatakan sebagai muzium perang terbesar di Asia Tenggara. Ianya dibina oleh tentera British sebagai kubu pertahanan mereka namun berjaya ditawan oleh tentera Jepun pada Perang Dunia Kedua. Kubu pertahanan ini kemudiannya menjadi tempat pemenjaraan, penyeksaan dan hukuman mati mangsa-mangsa tahanan perang oleh tentera Jepun.
Kubu pertahanan seluas 19.36 ekar ini ( lebih kurang luas 19 buah padang bola sepak) mempunyai struktur-struktur bangunan peninggalan seperti telaga tembakan meriam, terowong bawah tanah dan lokap. Pihak muzium juga ada menggunakan replika, gambar dan papan tanda keterangan untuk memberikan pengalaman yang lebih menarik dan pengetahuan yang lebih mendalam tentang latar belakang muzium perang ini.
Selain daripada lawatan secara persendirian, pihak muzium juga ada menyediakan pakej lawatan bersama pemandu pelancong untuk para pelancong.
Harga tiket bagi rakyat Malaysia dewasa ialah RM22 dan kanak-kanak ialah RM12.
Harga tiket bagi pelancong luar dewasa ialah RM38 dan kanak-kanak ialah RM20.
Waktu operasi bermula dari jam 9.00 am hingga 6.00 pm setiap hari.
3. Rumah Agnes Keith, Sabah.

“Siapa Agnes Keith ini?”
Ini soalan pertama yang bermain di benak penulis ketika sedang mencari dan membaca kisah rumah agam yang termasuk dalam lokasi “dark tourism” yang seterusnya. Jika anda pun sama tidak tahu seperti penulis, Agnes Newton Keith ini merupakan seorang pengarang buku tersohor dari Amerika Syarikat. Beliau mengikuti suaminya berhijrah ke Sandakan kerana suaminya bekerja sebagai pemelihara hutan dan mereka telah menetap di rumah ini sekitar tahun 1934 hingga 1948.
Pada tahun 1939, Agnes Keith telah mengarang buku yang berjudul “Land Below the Wind” yang menceritakan tentang travelog, sejarah dan autobiographi. Buku ini telah memenangi pertandingan yang dianjurkan oleh sebuah syarikat majalah, Atlantic Monthly. Kemenangan ini secara tidak langsung turut sama melonjakkan nama dan memperkenal negeri Sabah kepada orang luar.
Tidak hairanlah mengapa Agnes Keith ini merupakan salah seorang susuk terpenting dalam sejarah warisan di Sandakan, bahkan, frasa “Tanah Di Bawah Bayu” ini juga turut diinspirasikan daripada penulisan buku ini.
Pengunjung yang melawat muzium ini akan dapat merasai pengalaman kehidupan keluarga Agnes Keith dan penghuni-penghuni yang lain melalui pameran kelengkapan rumah, mesin taip, senjata dan telefon pada era kolonial yang serba antik!
Harga tiket bagi rakyat Malaysia dewasa ialah RM2 dan percuma bagi kanak-kanak.
Harga tiket bagi pelancong luar dewasa ialah RM15 dan percuma bagi kanak-kanak.
Waktu operasi bermula dari jam 9.00 am hingga 5.00 pm setiap hari.
Sandakan Death March atau laluan kawat maut yang terletak di Sandakan, Sabah ini mempunyai sejarah yang cukup menyayat hati. Peristiwa ini berlaku sekitar tahun 1943 hingga 1945. Selepas kejatuhan Singapura ke tangan Jepun, tentera Jepun membawa tawanan-tawanan perang ke Sandakan.
Tawanan ini kemudiannya dipaksa menjadi buruh bagi membina landasan kapal terbang di Ranau. Keadaan tawanan perang ini menjadi semakin buruk akibat dibiarkan kelaparan, kesakitan dan dianiaya. Tragedi ini telah mengakibatkan kematian seramai 2428 anggota tentera Biritsh dan Australia.
Anda boleh berkunjung ke Taman Peringatan Sandakan untuk melihat artifak tinggalan perang yang masih ada atau jika sukakan aktiviti mendaki, anda boleh ke laman sesawang TYK Adventure Tours, Borneo Tracking atau Sabah Tourism Board untuk pertanyaan lanjut.
5. Kem Tahanan Batu Lintang, Sarawak.

Institut Pendidikan Perguruan (IPG) Batu Lintang yang dilihat pada hari ini sebenarnya merupakan tapak berek tentera British dan Australia sebelum dirampas tentera Jepun dan kemudiannya dijadikan kem tahanan perang. Ramai tentera dan orang awam yang telah dibunuh semasa kependudukan tentera Jepun di kem ini. Selepas Perang Dunia Kedua tamat, kawasan ini dibuka semula dan dijadikan sekolah serta pusat latihan.
Bangunan yang mempunyai bumbung berupa rama-rama di belakang tugu peringatan ini merupakan muzium mini Batu Lintang yang dibuka secara rasmi pada tahun 1998. Di dalamnya dipamerkan catatan memori bekas tawanan perang dan pelajar yang pernah menuntut di situ.
Penulis tidak pasti tentang harga tiket atau waktu operasi muzium mini ini. Walau bagaimanapun, pembaca yang berminat untuk mengetahui info dengan lebih lanjut mungkin boleh ke laman sesawang Institut Pendidikan Perguruan (IPG) Batu Lintang.
6. Pulau Bidong, Terengganu.

Pulau Bidong yang terletak di Terengganu ini pada asalnya merupakan tumpuan para nelayan untuk berlindung daripada monsun dan penangkapan ikan.
Akibat kedatangan pelarian Vietnam yang bertali arus ke kawasan ini kerana krisis peperangan di negara mereka, kerajaan Malaysia telah mewartakan kawasan ini sebagai pusat pelarian Vietnam pada Ogos 1978. Objektifnya bagi memudahkan penyaluran bantuan kemanusiaan dan kawalan keselamatan. Tindakan berperikemanusian dan mulia oleh kerajaan Malaysia ini telah mendapat pujian daripada kerajaan luar.
Pulau ini kemudiannya telah diserahkan kembali kepada kerajaan Terengganu setelah tanah Pulau Bidong ini berbakti kepada pelarian Vietnam selama lebih kurang 16 tahun lamanya. Meskipun sebahagian besar tinggalan sejarah telah musnah, pihak berkepentingan seperti Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu giat mempromosi kawasan destinasi ini sehingga ke hari ini.
Pembaca yang teringin untuk melancong ke pulau ini boleh membeli pakej daripada mana-mana operator pelancongan yang diyakini.
Jika anda pernah membaca mana-mana blog artikel mahupun jurnal berkenaan dengan “dark tourism” ini, pastinya ada individu atau organisasi yang menyelitkan cerita-cerita mistik dalam penulisan mereka. Sebahagian orang kita pula secara mudah mempercayai tanpa mengkaji. Sejarah tempat yang tepat tidak diambil pusing, yang mereka ambil pusing, cerita-cerita seram yang tiada siapa pun tahu akan kebenarannya.
Kenapa penulis tidak memasukkan cerita-cerita ghaib ini dalam artikel ini? Pastinya “view” lagi naik!
Sengaja penulis tinggalkan perkara tersebut dalam artikel ini kerana penulis merasakan tidak ada faedahnya mempromosi lokasi pelancongan dengan perkara-perkara ghaib kerana khuatir akan menghapuskan faedah utama untuk melawat ke tempat-tempat yang bersejarah ini. Contoh faedah utama yang penulis maksudkan di sini ialah bagaimana pengujung dapat mengambil iktibar dan semangat daripada orang - orang terdahulu yang sanggup mengorbankan nyawa, harta dan keluarga untuk mendapatkan keamanan yang kita kecapi pada hari ini. Alangkah rugi jika kita kehilangan pengunjung atas sebab; takut datang tempat berhantu.
Ada sebarang pendapat untuk dikongsi bersama penulis? Komen di ruangan di bawah ini.

Hantar artikel/video berkaitan #CutiCutiLocal dan berpeluang menangi hadiah sehingga RM10,000! Ketahui lebih lanjut di sini.
Cik Mas Menulis adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.




