
Apa yang bermula sebagai pertemuan semula sekumpulan rakan lama bertukar menjadi tragedi berdarah apabila rahsia silam mula terbongkar dalam filem seram terbaharu, Pemuja Syaitan, yang kini ditayangkan di pawagam seluruh negara.
Filem arahan sulung Liana Jasmay itu menampilkan Zul Ariffin sebagai Inspektor Zul, pegawai penyiasat yang ditugaskan merungkai kejadian misteri selepas enam mayat ditemukan, seorang individu dilaporkan hilang dan seorang lagi ditemui dalam keadaan trauma.
Kisahnya bermula apabila sekumpulan bekas rakan sekelas berkumpul semula di kampung halaman beberapa bulan selepas tamat persekolahan.
Pertemuan yang sepatutnya menjadi ruang untuk mengimbau kenangan lama bagaimanapun berubah menjadi mimpi ngeri selepas mereka menggali semula sebuah kapsul masa yang menyimpan rahsia dan pengkhianatan silam.
Lebih merumitkan keadaan, siasatan Inspektor Zul membawa kepada penemuan demi penemuan yang membongkar kebenaran di sebalik tragedi berkenaan.
Selain Zul, filem terbitan Mermaid Studios dan Suraya Filem Production & Distribution itu turut menampilkan Aila Azizul, Nadhir Nasar serta Elizabeth Tan.
Menariknya, Pemuja Syaitan turut menyaksikan Zul bergandingan dengan Liana, yang bukan sahaja terlibat sebagai pelakon, malah mengambil tanggungjawab mengarahkan filem seram berkenaan.
Bagi Liana, naskhah ini mengangkat tema persahabatan, pengkhianatan dan ketakutan menerusi sebuah kisah yang bermula dengan pertemuan semula, sebelum membawa watak-wataknya berdepan akibat daripada rahsia yang sekian lama terpendam.
Pada 14 Oktober lalu, barisan pelakon dan tenaga produksi bertemu rakan media menerusi sesi tayangan khas serta temu ramah di TGV Suria KLCC.
Acara diteruskan dengan Malam Gala Pemuja Syaitan yang menghimpunkan pelakon, tetamu jemputan dan peminat. Majlis itu turut diserikan dengan persembahan lagu tema filem berjudul Dendam oleh Elica Pauji.
Filem ini turut mendapat kerjasama Skop Productions Sdn Bhd sebagai rakan pengedaran dan Primeworks Studios selaku rakan pemasaran.
Buat peminat filem seram tempatan, Pemuja Syaitan sudah mula menghantui pawagam seluruh Malaysia sejak 15 Oktober lalu.
Persoalannya, sejauh mana rahsia lama mampu menghancurkan persahabatan, dan apakah sebenarnya yang berlaku pada malam tragedi itu? - Getaran, 20 Oktober 2026






