
6 Orang Masih Hilang Selepas Banjir Kilat Di Ternate, Indonesia – BNPB
JAKARTA, 26 Ogos (Bernama) — Banjir kilat yang melanda Pulau Ternate di wilayah Maluku Utara pada Ahad, menyebabkan enam orang masih hilang, menurut kemas kini terkini Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).
Jurucakapnya, Abdul Muhari berkata jumlah mangsa yang terkorban kekal tidak berubah seperti Ahad (25 Ogos) iaitu 13 mangsa, dengan sembilan orang dilaporkan cedera dalam bencana itu.
“Kami sedang giat memantau keadaan dan membuka laporan untuk mana-mana ahli keluarga yang masih mencari saudara-mara yang hilang,” katanya semasa taklimat media pada Isnin (26 Ogos).
Beliau juga berkata banjir itu menyebabkan kerosakan yang ketara, menjejaskan 25 rumah dan satu masjid, dan memberi kesan kepada 25 keluarga.
Disebabkan kebimbangan mengenai aspek keselamatan dan trauma, beberapa keluarga dipindahkan ke dua tempat perlindungan sementara yang ditubuhkan di sekolah tempatan.
Bencana itu bermula di daerah Rua berikutan hujan lebat yang bermula pada 3 pagi waktu tempatan, kata Abdul Muhari, sambil menambah pihak berkuasa tempatan mengisytiharkan status darurat bencana selama dua minggu.
Sumber: BERNAMA
The post 6 Orang Masih Hilang Selepas Banjir Kilat Di Ternate, Indonesia – BNPB appeared first on Siakap Keli.




