6 pelajar Program Pembangunan Siswa Sulung UMT peroleh Kelas Pertama

21 Oct 2026 • 2:18 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 6 pelajar Program Pembangunan Siswa Sulung UMT peroleh Kelas Pertama

KUALA NERUS – Program Pembangunan Siswa Sulung yang dirintis Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sejak tahun 2024 semakin menampakkan hasilnya apabila 36 pelajar terpilih dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan (B40) berjaya menggenggam ijazah sarjana muda dalam Istiadat Konvokesyen UMT Kali Ke-24 yang berakhir semalam.

Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Suriyani Muhamad berkata, tambah membanggakan, enam daripada mereka mencapai keputusan cemerlang dengan memperoleh Kelas Pertama dalam pengajian masing-masing.

“Program Pembangunan Siswa Sulung merupakan inisiatif KPT yang menyasarkan generasi pertama (anak sulung) dalam keluarga B40 untuk membantu mereka mendapat akses kepada pendidikan tinggi.

“Pelajar terpilih bukan sahaja menerima tajaan penuh yuran pengajian, malah diberi peluang memanfaatkan ekosistem pembangunan universiti bagi mengasah potensi diri dan kepimpinan, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka,” katanya selepas Istiadat Konvokesyen UMT Kali Ke-24, di sini semalam.

Suriyani berkata, setakat ini, seramai 176 pelajar dalam kalangan keluarga B40 telah terpilih dalam Program Pembangunan Siswa Sulung di UMT sejak dua tahun lalu.

Katanya, prestasi sebahagian besar pelajar terlibat amat memberangsangkan dengan bilangan peserta yang berjaya menamatkan pengajian telah bertambah dari setahun ke setahun.

“Seramai 18 pelajar program ini berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2024, 27 orang pada 2025 dan tahun ini, jumlah mereka terus meningkat kepada 36 orang.

“Harapan kita ialah pelajar Program Pembangunan Siswa Sulung ini dapat berjaya dalam kerjaya masing-masing, sekali gus berupaya mengubah nasib keluarga berbekalkan ijazah dan kemahiran insaniah diperolehi,” katanya.

Sementara itu, Ery Juwahidi Aimar Zulkifli, 24, yang memperoleh Kelas Pertama dalam Ijazah Sarjana Muda Teknologi Alam Sekitar dengan Kepujian berkata, Program Pembangunan Siswa Sulung amat bermakna buatnya.

Anak sulung daripada dua beradik yang berasal dari Padang Besar, Perlis itu berkata, program tersebut membolehkannya belajar dengan tenang dan tekun tanpa risau akan beban kewangan orang tua.

“Ayah saya, Zulkifli Mohd., 52, merupakan seorang penoreh getah, manakala ibu, Warsih Legiman, 51, pula mencari rezeki sebagai pembantu kantin.

“Alhamdulillah, saya kini sudah bekerja di Pulau Pinang dan mula mampu membantu keluarga,” katanya.

Nur Hanisah Hasbullah, 24, yang memperoleh Ijazah Kelas Pertama dalam Ijazah Sarjana Muda Teknologi (Alam Sekitar) dengan Kepujian turut terhutang budi terhadap KPT dan UMT.

Anak pasangan penoreh getah, Hasbollah Ibrahim, 61, dan Ratmah Abdul Rashid, 61, yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan itu berkata, Program Pembangunan Siswa Sulung mendorongnya untuk meneruskan pengajian sehingga berjaya bergelar siswazah.

“Peluang diberikan tersebut telah saya gunakan sebaik mungkin bukan sahaja untuk cemerlang dalam akademik malah memantapkan kemahiran insaniah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post 6 pelajar Program Pembangunan Siswa Sulung UMT peroleh Kelas Pertama appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved