
6 Situasi Melayakkan Anda "Claim" Skim LINDUNG 24 Jam
Ramai pekerja beranggapan perlindungan keselamatan sosial hanya diberikan apabila kemalangan berlaku semasa bekerja atau ketika menjalankan tugas rasmi.
Namun hakikatnya, risiko kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa. Sama ada ketika berada di rumah, bercuti bersama keluarga, bersukan mahupun dalam perjalanan untuk urusan peribadi.
Menyedari hakikat tersebut, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memperkenalkan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) bagi memberikan perlindungan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh kepada pekerja di Malaysia.
Melalui skim ini, pekerja yang layak akan menikmati perlindungan selama 24 jam sehari sepanjang tempoh penggajian mereka. Ini termasuk bagi kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja dan tidak berkaitan secara langsung dengan pekerjaan.
Apa itu Skim LINDUNG 24 Jam?
Skim LINDUNG 24 Jam merupakan inisiatif baharu yang berkuatkuasa pada 1 Jun 2026 yang memberi perlindungan 24 jam kepada pekerja yang layak semasa tempoh penggajian.
Ini termasuk perlindungan bagi kemalangan yang berlaku di luar waktu kerja yang tidak berkait langsung dengan penggajian ataupun pekerjaan.
Skim LINDUNG 24 Jam diwujudkan bagi memberikan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja-pekerja atas sebarang kemalangan yang berlaku kepada mereka.
Justeru, pekerja bukan sahaja menerima perlindungan keselamatan sosial akibat kemalangan bencana pekerjaan, tetapi juga kemalangan dalam bentuk atau situasi yang selain daripada pekerjaan mereka.
Apakah jenis kemalangan yang diliputi di bawah Skim LINDUNG 24 Jam?
Secara umumnya, skim ini melindungi kemalangan yang:
Tidak berlaku semasa menjalankan pekerjaan
Tidak mempunyai kaitan langsung dengan pekerjaan atau penggajian
Berlaku dalam Malaysia
Berlaku di luar waktu bekerja
Melibatkan kecederaan akibat kemalangan
Kanak-kanak Perempuan Antara Empat Maut Kemalangan Di Simpang Renggam
Dua Mangsa Kemalangan Simpang Renggam Penerima Pertama LINDUNG 24 Jam
Kemalangan Maut Simpang Renggam: Loke Gesa Siasatan Disegerakan
Menurut PERKESO, berikut antara contoh senario kemalangan yang dilindungi dibawah Skim LINDUNG 24 Jam:
Ketika perayaan Aidiladha 1447 dalam tempoh dua hari sahaja Polis Diraja Malaysia telah merekodkan sebanyak 3,096 kes kemalangan dengan 38 kematian. Jika semua yang terlibat kemalangan itu merupakan pekerja liputan LINDUNG 24 Jam, sudah pasti ia dapat membantu mereka dengan ketersediaan faedah-faedah yang layak diperolehi. Kemalangan yang berlaku sudah tentu di luar waktu pekerjaan seseorang pekerja itu, maka tiada perlindungan atau faedah dapat diberikan kepada pekerja, jika tiada Skim LINDUNG 24 Jam.
Pekerja yang terlibat dengan kemalangan ketika membawa keluarga bercuti hujung minggu yang mengakibatkannya mengalami kecederaan.
Seseorang pekerja dalam waktu tidur di rumahnya bermimpi dan terjatuh daripada tempat tidur (katil) mengakibatkan cedera pada anggota badan. Diperakui oleh doktor yang merawatnya dan diberikan rawatan perubatan dan cuti sakit. Layak mendapat Faedah Perubatan dan Faedah Hilang Upaya Sementara (jika diberi cuti sakit sekurang-kurangnya 4 hari termasuk hari kemalangan secara berturut).
Seseorang pekerja dalam perjalanan bersama keluarga untuk beriadah, mengalami kemalangan yang mencederakan dan diperakui oleh doktor yang merawatnya dan diberikan cuti sakit akibat hilang upaya. Layak mendapat Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, mahupun Faedah Hilang Upaya Kekal jika mengalami hilang upaya kekal, bekalan implan, rehabilitasi dan jika mengakibatkan kematian, orang tanggungan berkelayakan mendapat Faedah Pengurusan Mayat dan Faedah Orang Tanggungan serta Faedah Pendidikan jika ada anak sebagai Orang Tanggungan yang sedang belajar di peringkat diploma atau ijazah.
Sewaktu aktiviti korban sempena Hari Raya Aidiladha baru-baru ini, jika seseorang pekerja itu atau peserta ibadah korban atau mana-mana orang (berstatus pekerja) tercedera akibat disondol binatang yang hendak dijadikan korban adalah berkelayakan mendapat faedah-faedah yang tersedia di bawah Skim LINDUNG 24 Jam.
Pekerja yang terlibat dalam kemalangan perjalanan luar waktu kerja iaitu selepas pulang ke rumah, tetapi berpatah balik ke tempat kerja untuk mengambil sesuatu adalah layak menerima perlindungan di bawah Skim LINDUNG 24 Jam.
Apakah kemalangan yang tidak diliputi di bawah Skim LINDUNG 24 Jam?
Sebaliknya, berikut adalah kemalangan yang tidak diliputi di bawah Skim LINDUNG 24 Jam:
Kemalangan yang diperakukan sebagai Bencana Pekerjaan di bawah Akta lain yang ditadbir PERKESO.
Kes-kes kemalangan atau kecederaan yang disabitkan penipuan (fraud)
Kemalangan yang melibatkan perbuatan jenayah
Perbuatan mencederakan diri sendiri (self-inflicted) atau membunuh diri
Kemalangan berlaku di luar Malaysia atas urusan peribadi
Orang Berinsurans pekerja asing yang menyalahgunakan pas atau permit yang sah yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Imigresen atau melanggar apa-apa syarat kemasukan di bawah Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155]
Bencana pekerjaan sendiri di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 [LINDUNG Kendiri]
Bencana domestik di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 [LINDUNG Kasih]
Kemalangan ketika dalam tempoh cuti tanpa gaji dan tidak mencarum Skim LINDUNG 24 Jam pada bulan kemalangan itu, melainkan bagi hal keadaan seperti berikut:
(a) Pekerja yang mengambil cuti tanpa gaji atau tidak hadir bekerja yang tidak dibayar gaji dalam tempoh singkat yang mana status perkhidmatannya masih aktif atau tidak terjejas bagi bulan kemalangan itu. Cuti tanpa gaji atau tidak hadir bekerja dalam tempoh singkat merujuk kepada cuti atau tidak hadir bekerja tanpa gaji harian, iaitu pekerja yang bekerja dengan bayaran gaji harian dan mengambil cuti tanpa gaji atau tidak hadir bekerja pada hari-hari tertentu tanpa bayaran gaji.
(b) Pekerja dalam tempoh cuti bagi menghabiskan baki cuti rehat tahunan atau mengambil cuti penghujung perkhidmatan bagi tujuan persaraan atau penamatan perkhidmatan.
(c) Pekerja yang dijadualkan bertugas tetapi tidak hadir bertugas atas urusan peribadi yang tidak menjejaskan status perkhidmatannya. Namun, jika tidak hadir bertugas yang menjejaskan status perkhidmatan pekerja itu yang membawa kepada pemecatannya dan tiada caruman Skim LINDUNG 24 Jam pada bulan berkenaan, tiada kelayakan faedah boleh dibenarkan.
(d) Kemalangan ketika belum lagi berstatus pekerja dalam mana-mana perusahaan yang tertakluk di bawah AKSP 1969.
(e) Kemalangan selepas tarikh 15 Julai 2026 dan pekerja tidak mencarum atau tiada bukti caruman dalam Skim LINDUNG 24 Jam, walaupun pekerja itu berstatus pekerja aktif di bawah AKSP 1969.
(f) Kemalangan terbit sebelum masa dan tarikh berkuat kuasa Skim LINDUNG 24 Jam, iaitu sebelum pukul 12:00 tengah malam (00:00 jam) 1 Jun 2026.
(g) Apa-apa penyakit atau kecederaan yang tidak berkait dengan kemalangan termasuk penyakit khidmat.






